Mohamad Sabu ketuai delegasi ke Indonesia teroka teknologi pengeluaran padi
Bernama
Mac 17, 2023 22:21 MYT
Mac 17, 2023 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi kementerian itu ke Indonesia bagi lawatan kerja selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 Mac.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan berkenaan bertujuan meneroka teknologi dan pendekatan baharu yang diguna pakai negara jiran itu dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi.
"Ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 KPKM untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi dan beras negara sebagai makanan ruji rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Semasa lawatan itu, Mohamad akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Wakil Menteri Pertanian Indonesia Harvick Hasnul Qolbi pada 20 Mac bagi mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk ekonomi, pelaburan dan teknikal.
Beliau juga dijadual mengadakan lawatan ke Pusat Penelitian Pengembangan dan Penerapan Bioteknologi di Serang, Banten bagi melihat dengan lebih dekat kejayaan industri padi Indonesia.
Lawatan kerja itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM Datuk Badrul Hisham Mohd dan pegawai kanan kementerian.
-- BERNAMA