Mohamad Sabu ikrar dedah penyelewengan jika benar berlaku dalam Kementerian Pertahanan

Bernama
Jun 14, 2018 15:36 MYT
MOHAMAD: Percaya jawatankuasa itu mampu merungkai pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan sebelum ini .
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berikrar mendedahkan semua salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam Kementeri Pertahanan sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini jika ia terbukti benar berlaku.
Katanya, terdapat beberapa isu berkaitan kementerian itu sebelum ini ditimbulkan terutama berkaitan perolehan aset ketenteraan dan ia akan disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Khas bagi isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
"Dalam kempen-kempen pilihan raya kita sentuh mengenai Kementerian Pertahanan ini antara yang menjadi sasaran dan perkara yang ditimbulkan termasuk oleh Tan Sri Rafidah Aziz (berkaitan penswastaan tanah Angkatan Tentera Malaysia).
"Sebelum itu kita juga sentuh tentang pembelian kapal selam Scorpene dan isu-isu berkaitan dengan Kementerian Pertahanan termasuk (pembunuhan model Mongolia) Altantuya Shaariibuu dan sebagainya, terlalu banyak," katanya dalam temubual bersama Bernama di Wisma Bernama di sini, baru-baru ini.
Mohamad percaya jawatankuasa itu mampu merungkai pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan sebelum ini dan mengubah persepsi negatif masyarakat yang boleh mencalarkan imej kementerian itu.
Dalam pada itu, Mohamad yang baru sahaja mengemudi kementerian itu kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu berkata, pada masa ini tidak banyak dasar yang telah dilaksanakan kementerian itu yang akan diubah, sebaliknya hanya akan ditambah baik terutama berkaitan pelaksanaannya.
Katanya antara dasar kementerian yang akan diteruskan termasuk hubungan kerjasama ketenteraan dengan negara-negara jiran dalam mengawasi perairan dan kerjasama latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat selain komitmen untuk mengukuhkan perjanjian Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).
Beliau turut mengulangi komitmen untuk terus memelihara kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan kesiapsiagaan mereka dalam menjadi benteng mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Kedudukan kewangan dan ekonomi negara kita sekarang ini mungkin memerlukan kita untuk menyesuaikan dengan keadaan itu tetapi walau apa pun hal, kebajikan dan kesiapsiagaan tentera kita itu tidak boleh kompromi," katanya.
Mohamad turut berkata program dan perkara lain diputuskan sebelum ini termasuk status Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut akan dikaji secara mendalam sebelum cadangan untuk menentukan statusnya dikemukakan dan diputuskan kabinet.
-- BERNAMA
#kerajaan #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu #penyelewengan #salah laku
;