Mohamad Sabu bentang Kertas Putih Pertahanan hari ini
Bernama
Disember 2, 2019 09:38 MYT
Disember 2, 2019 09:38 MYT
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan menerusi portal rasmi Parlimen Malaysia, kertas cadangan itu dibentangkan berikutan perlunya Dasar Pertahanan Negara diperbaharui.
Ia bagi membolehkan strategi dan keupayaan pertahanan negara seiring serta relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Dalam cadangan itu, dinyatakan Dewan Rakyat mendukung aspirasi kerajaan untuk menyemai tadbir urus yang baik melalui prinsip keterbukaan, ketelusan, inklusif dan progresif selain menonjolkan profesionalisme dan akauntabiliti kerajaan melalui KPP berkenaan.
Pada masa yang sama, Dewan Rakyat menyokong kerajaan bagi menetapkan bahawa KPP akan menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh tahun 2021 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.
"Dewan perlu meluluskan serta merestui dasar dan usaha yang diperkenalkan dalam KPP yang meliputi Kerangka Pertahanan Nasional.
"Ia sejajar dengan kedudukan negara sebagai sebuah negara maritim yang bersusur galur kebenuaan dan sebagai gerbang penjalin antara kedua-dua rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah 43 Tahun 2019," katanya.
Sebelum itu, pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan antara persoalan menarik yang dibangkitkan ialah tentang soal penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar berikutan masalah kekurangan peluang pekerjaan.
Persoalan dibangkitkan oleh Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu itu.
Selain itu, isu tentang penipuan oleh ejen pelancongan terutama yang melibatkan ibadah umrah juga dijangka menjadi tumpuan apabila Datuk Seri Dr Ismail Muttalib (BN-Maran) mahukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah itu.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung sehingga Khamis ini.
-- BERNAMA
#Dasar Pertahanan Negara
#Dewan Rakyat
#hala tuju strategik
#kerajaan
#Kerangka Pertahanan Nasional
#Kertas Putih Pertahanan
#keselamatan
#KPP
#Mohamad Sabu
#Parlimen
#penghijrahan penduduk
#pertahanan
#umrah