Mohamad ke Brunei sempena EOL-25 bermula hari ini hingga 12 Ogos

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 11, 2024 08:40 MYT
Lawatan kerja ini juga amat bermakna kerana tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei Darussalam pada 11 dan 12 Ogos ini bersempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Exchange of Letters antara Malaysia dan Brunei Darussalam (EOL-25).
Wisma Putra dalam satu kenyataan menjelaskan, mesyuarat EOL merupakan mekanisme dua hala yang dipengerusikan bersama Mohamad dan rakan sejawatnya Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
"Kedua-dua Menteri Luar Negeri dijangka akan memantau kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua Pemimpin semasa Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-24 (ALC-24) tahun lepas. Hasil Mesyuarat EOL-25 ini juga akan dijadikan asas persediaan kepada ALC-25 yang dijadual penganjurannya pada 26 Ogos 2024 di Brunei Darussalam.
"Sewaktu di Bandar Seri Begawan, Mohamad turut dijadual akan mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Seri Paduka Baginda Sultan Hassanal Bolkiah.
"Lawatan kerja ini juga amat bermakna kerana tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Hubungan di antara kedua negara ini istimewa dan erat, bertunjangkan institusi Kesultanan Melayu, persamaan warisan dan kebudayaan, serta hubungan kekeluargaan antara rakyat kedua-dua negara," ujarnya.
Pada masa sama, kedua-dua Menteri Luar Negeri akan akan menghadiri satu majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ini.
Ia akan turut dihadiri oleh orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Brunei Darussalam serta ketua-ketua perwakilan asing.
Untuk rekod, pada tahun 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM9.31 bilion.
#Mohamad Hasan #EOL #Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof #kemajuan kerjasama dua hala
;