Mohamad Husaini, Nor Hidayah johan Tilawah Al-Quran

Bernama
Mei 28, 2024 00:21 MYT
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan hadiah kepada Johan Qari Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M, Mohd Husaini Mahmur. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Qari dari Negeri Sembilan Mohamad Husaini Mahmur malam ini dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi manakala Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu diumum sebagai johan menunggu bagi kategori qariah.
Muhammad Husaini dan Nor Hidayah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Naib johan qari disandang oleh Abdul Hadi Che Ab Halim dari Terengganu manakala naib johan qariah oleh Nadhrah Ahmad Marzuki dari Negeri Sembilan yang menerima wang tunai RM15,000 dan RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Tempat ketiga kategori dimenangi oleh Mohamad Syaheed Sabri, qari dari Pahang dan qariah dari Terengganu Nor Jannah Ab Rahman yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Bagi acara hafazan 30 juzuk beserta tafsir kategori hafiz dimenangi Muhammad Rifae'i Mat Zuki dan Putri Aminah Mohd Hanif bagi kategori hafizah manakala bagi hafazan 20 juzuk, Muhammad Asyraf Amir dari Johor dan Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi dari Selangor dinobatkan sebagai pemenang.
Kategori hafazan 10 juzuk pula menyaksikan peserta Melaka Abdullah Afif Mohd Ariffin dan Aisyah Nabihah Noor Hisham dari Negeri Sembilan diumum sebagai pemenang manakala johan keseluruhan tahun ini disandang oleh Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Hakimah Mohd Yusoff mengumumkan semua pemenang di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.
Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
MTHQK 2024, program anjuran JAKIM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.
-- BERNAMA
#johan #tilawah al-quran #Mohamad Husaini Mahmur #Nor Hidayah Abd Rahman
;