Mohamad Hasan hadir AEMM ke-24 dan EU IPMF ketiga di Brussels
Bernama
Februari 1, 2024 19:01 MYT
Februari 1, 2024 19:01 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan kerja ke Brussels, Belgium bermula Khamis hingga 3 Feb bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) kali ke-24 serta Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah (EU IPMF) ketiga.
Menurut satu kenyataan Wisma Putra pada Khamis, menteri-menteri luar ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka akan membincangkan tindakan susulan kepada keputusan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU pada 2022 bagi meraikan ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-EU.
"Menteri Luar akan mencadangkan beberapa bidang kerjasama bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara ASEAN dan EU.
"Beliau juga akan membangkitkan dan memberi fokus kepada isu-isu berhubung perkembangan di Timur Tengah," menurut kenyataan itu.
EU IPMF kali ketiga yang dihoskan oleh Belgium bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara EU dan negara-negara di rantau Indo-Pasifik.
"Menteri Luar akan mengambil bahagian dalam sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai "The Green Transition: Partnering for a Sustainable Future", menyaksikan beliau akan mengetengahkan antara lain, amalan kelestarian dan kemampanan Malaysia yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga," tambah kenyataan itu.
Pada lawatan itu juga Mohamad akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawatan dari EU dan bertemu dengan diaspora Malaysia di Brussels.
-- BERNAMA