Mohamad Hasan dilantik semula MB N.Sembilan

Bernama
Mei 9, 2013 20:17 MYT
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk penggal ketiga.
Mohamad yang berjaya mempertahan kerusi dewan undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya umum (PRU13) Ahad lalu akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Sabtu ini.
"Syukur Alhamdulillah kerana tengah hari tadi saya telah pun dititahkan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi menyerahkan watikah pelantikan saya yang diberikan perdana menteri.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang juga pengerusi BN kerana memberi kepercayaan kepada saya sekali lagi untuk mentadbir Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz dengan pelantikannya sebagai menteri besar.
Mohamad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dilantik semula sebagai menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan apabila menang 22 daripada 36 kerusi DUN.
Mohamad, 57, mula dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004, menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan dilantik untuk penggal kedua selepas PRU 2008.
Dalam pada itu beliau berkata senarai barisan anggota Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diputuskan kemudian.
"Kita tidak akan tergesa-gesa kerana buat masa ini biarlah saya mengangkat sumpah dahulu, kemudian semua ADUN juga akan mengangkat sumpah selepas itu barulah kita putuskan senarai exco," katanya.
#Datuk Seri Mohamad Hasan #Majlis Angkat Sumpah #Menteri Besar Negeri Sembilan
;