Mohamad Hasan adakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat di luar Debat Terbuka UNSC

Bernama
Januari 24, 2024 19:00 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Palestin Riad Malki. - Foto Facebook Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya di luar Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa di New York.
Menurut hantaran Facebook Wisma Putra, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Palestin Riad Malki dan Menteri Luar dan Komuniti Luar Negara Algeria, Ahmad Attaf.
Mohamad juga bertemu dengan Menteri Luar Iran Hossein Amir Abdollahian dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Jordan Ayman Safadi.
Dalam catatan di laman Facebook beliau, Mohamad berkata dalam pertemuan-pertemuan itu, beliau telah membincangkan keperluan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan-rakan sejawatannya.
Dalam pertemuan bersama dengan Dr Malki, beliau turut menyampaikan rasa empati rakyat Malaysia terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.
"Turut berkongsi tentang usaha menyampaikan poskad khas kepada Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditandatangani sendiri oleh YAB PM dan semua Jemaah Kabinet bagi membawa suara agar Palestin diterima sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Terdahulu Mohamad mengambil bahagian dalam Debat Terbuka PBB itu dan menyatakan pendirian Malaysia dalam menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel ke atas undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza
Beliau berkata ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.
-- BERNAMA
#Mohamad Hasan #Wisma Putra #pertemuan dua hala #isu Palestin
;