Mohamad Aziz selamat dikebumi

Ernalisa Othman
Disember 25, 2020 12:39 MYT
Jenazah Mohamad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Alif pukul 10 pagi ini selepas solat jenazah di kediamannya dekat Taman Nong Chik di sini. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Kehilangan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz begitu dirasai rakan-rakan lama yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat menjaga silaturahim sesama sahabat tanpa mengira pangkat dan usia.
Bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Naim Nasir tatkala mengenang memori bersama Allahyarham berkata, Mohamad merupakan individu yang kuat bekerja.
“Beliau pernah bercakap yang dia kurang pelajaran, tetapi kalau kita lihat kejayaannya dalam politik, sikapnya. Dia sedar dia siapa.
“Satu lagi, dia sangat menjaga silaturahim dengan kawan-kawan, anak muda, orang tua, politik dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Rahmat menyifatkan Allahyarham banyak menyumbangkan bakti kepada rakyat di Seri Gading.
“Allahyarham merupakan pemimpin yang lahir di (peringkat) akar umbi, dari bawah, dan merupakan antara pemimpin paling lama.
“Sepanjang khidmat baktinya, beliau banyak membantu pembangunan di Sri Gading termasuk perpaduan UMNO di Johor.
“Jasa beliau terlalu besar di mana beliau pernah berkhidmat sejak zaman Tun Hussein Onn,” katanya.
BACA: Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Syukur Mohamad menyifatkan bapanya seorang yang lembut ketika bersama anak-anak mengharapkan orang ramai dapat memaafkan segala kesilapan bapanya.
“Abah saya di luar dilihat garang. Ada yang gelar singa selatan. Ada gelar macam-macam, termasuk dari seteru politik.
“Tetapi sebenarnya dia abah paling sporting. Apa anda lihat di luar, tidak sama di dalam. Sesiapa yang rapat akan tahu dia macam mana, seorang yang jaga solat, jaga silaturahim dan paling penting hormat alim ulama,” katanya.
Jenazah Allahyarham Mohamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Alif pukul 10 pagi tadi selepas solat jenazah di kediamannya dekat Taman Nong Chik di sini.
Allahyarham dilantik sebagai Speaker Dun Johor dari 2013 hingga 2018 dan pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani serta Ahli Parlimen Sri Gading dari 1986 hingga 2013.
Beliau juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri serta memegang portfolio Pengerusi Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat.
Dalam bidang politik, Mohamad pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bagi tempoh 2009 hingga 2017 dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.
#Mohamad Aziz #UMNO #Timbalan Pengerusi Tetap UMNO #Johor Bahru #Parlimen #Exco #kerajaan #meninggal dunia #takziah #Ayub Rahmat
;