Mohamad Ali dilantik Timbalan Speaker Dewan Negara
Nailah Huda
Disember 16, 2020 12:49 MYT
Disember 16, 2020 12:49 MYT
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.
Hanya seorang calon yang dikemukakan bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad yang tamat penggal perkhidmatan pada 22 November lalu.
Pencalonan Timbalan Pengerusi UMNO Melaka itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama sidang Dewan Negara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.
Namun, pembentangan usul tersebut diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 5 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Selain itu, tiga Senator turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dengan dua pelantikan semula dan satu lantikan baharu.
Menurut Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, beberapa perubahan dibuat terhadap takwim persidangan bagi penggal ini.
Dalam satu perutusan daripada Perdana Menteri, tempoh persidangan bertambah dua hari lagi pada 28 dan 29 Disember.
Langkah itu ekoran waktu persidangan disingkatkan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Waktu persidangan Dewan Negara hanya berlangsung dari 10 pagi hingga 2 petang manakala waktu pertanyaan jawab lisan ditetapkan selama satu jam dengan hanya satu soalan tambahan dibenarkan.
Ahli Dewan Negara bakal membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin depan diikuti dengan jawapan Menteri pada 22 dan 23 Disember.
Perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan lain diperuntukkan sebanyak dua hari pada 28 dan 29 Disember.
#Mohamad Ali
#Mohamad Ali Mohamad
#Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara
#Timbalan Speaker
#Dewan Negara
#Muhyiddin Yassin
#Rais Yatim
#Takiyuddin Hassan
#UMNO
#Belanjawan 2021