Mohamad akan sertai Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Laos

Bernama
Januari 27, 2024 20:45 MYT
Mohamad juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala. - Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) dari 28 hingga 29 Januari 2024 di Luang Prabang, Laos.
Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN itu merupakan mesyuarat berjadual pertama bagi negara anggota ASEAN tahun ini, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Laos merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2024.
Pemukiman AMM itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos Saleumxay Kommasith, dengan penyertaan Menteri-menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati ASEAN.
Menurut Wisma Putra, Pengerusi ASEAN dijangka memberi taklimat mengenai keutamaan dan keberhasilan kepengerusian Laos bertema "ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience".
"Menteri-menteri Luar akan membincangkan pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang telah dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 pada September 2023 di Jakarta, hubungan luar ASEAN, serta pertukaran pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Wisma Putra berkata AMM akan memberi peluang baik kepada Malaysia dan anggota ASEAN lain untuk mengukuhkan usaha ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
"Ini menjadi semakin penting berikutan pelbagai cabaran yang semakin rumit kesan daripada dinamik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global," katanya.
Mohamad juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala.
-- BERNAMA
#sesi pemukiman #Menteri Luar #ASEAN #Mohamad Hasan #laos
;