Moga Ramadan ini 'sejuk perut ibu mengandung' - Doa anak yatim

Mariah Ahmad
Jun 29, 2015 00:56 MYT
Adik beradik sekeliling yang menutupi kesunyingan tanpa kehadiran ibu bapa di samping mereka.
Selamat Datang ke Rumah Bakti Nur Syaheera
Rumah Bakti Nur Syaheera ini diilhamkan oleh Johari Basri bersama isterinya Suzana Jafar, bagi mewujudkan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi menempatkan anak-anak yatim dan miskin.
Dua buah rumah bersebelahan telah disewa bagi menempatkan semua anak-anak ini. Sehingga hari ini seramai 30 orang anak yatim dan miskin telah ditempatkan di rumah ini.
Penulis berasa cukup bertuah kerana diberi peluang untuk bersama adik-adik ini, dari mereka bersahur sehingga mereka bertarawih, untuk melihat apakah aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan ini.
Kira-kira jam 4.30 pagi saya tiba di Rumah Bakti Nursyaheera di Taman Jaya, Cheras. Ketika saya sampai, adik-adik di rumah ini sudah bangkit untuk menjamu sahur mereka pada hari itu.
Saya masuk ke rumah bahagian perempuan, saya lihat mereka dengan tertib beratur untuk mencedok nasi dan lauk pauk yang disediakan pembantu rumah dan penjaga mereka.
Begitu juga dengan yang lelaki, bersahur sama-sama walau ada seorang anak kecil meraung mungkin kerana masih mahu tidur lagi. Namun dia ditenangkan adik-beradiknya yang lain, membantu anak kecil berusia lima tahun ini untuk bersahur.
Selepas selesai bersahur, mereka menunggu giliran untuk mandi.
“Selalu kami beri yang kecil-kecil mandi dulu, kami yang besar-besar ini mandi kemudian,” kata Nurambia Nafariesha, yang senang dikenali sebagai Ambia.
Ambia sudah tujuh tahun berada di rumah ini, bersama adiknya, Shaik Anuaridris.
“Kadang-kadang payah juga mahu kejut mereka ni bangun kak, sebagai ketua rumah saya kena kejut semua budak perempuan dalam rumah ini. Yang mana yang liat tu, saya simbah air je kak, ha ha,” tawa Ambia ketika menceritakan karenah adik-adik yang lain ketika bangun bersahur.
“Selepas semua orang mandi kan kak, memang betul-betul timing (waktu) untuk solat Subuh,”ujar Anna Nur Fatihah, atau Anna, yang duduk bersebelahan dengan Ambia.
Penghuni perempuan Rumah Bakti Nur Syaheera sedang melnyempurnakan solat Subuh secara berjemaah sebelum bersiap ke sekolah. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD
“Kami akan bergilir untuk menjadi imam, selalunya memang kami sembahyang jemaah pada waktu Subuh ni,” tambah Anna.
Selesai berdoa dan solat Subuh, Ambia mengambil Al-Quran. Membaca dengan penuh tekun sementara menunggu mereka yang lain untuk bersiap-siap ke sekolah.
‘La la, La nahtajul ma-la, Kai nazdada jama-la’
Kira-kira jam 2 petang, mereka pulang dari sekolah. Bagi yang bersekolah rendah, mereka akan solat berjemaah dahulu di rumah ini sebelum ke sekolah agama pada sebelah petang.
Ketika sedang rancak berborak dengan mereka, penjaga mereka, Suzana Jafar yang mesra disapa Mama memanggil mereka untuk ke koridor rumah itu.
Mama memberi sehelai kertas yang tertulis lirik lagu Kun Anta atau maksudnya Jadilah Diri Anda Sendiri, nyanyian Humood AlKhudher yang kini popular dalam kalangan peminat muzik Nasyid di Malaysia seperti waktu kegemilangan penyanyi popular Maher Zain sebelum ini.
La la, La nahtajul ma-la, Kai nazdada jama-la, Jauharna huna, Fi qalbi talala.
Kawasan perumahan Taman Jaya Baru, Cheras didendangkan dengan nyanyian merdu penghuni rumah ini.
“Latihan nasyid ini kami lakukan kerana ada jemputan dari mana-mana pihak yang menjemput kami untuk membuat persembahan. Kali ini kami tukar sedikit lagu memandangkan lagu Kun Anta ini sedang trending di Malaysia,” jelas Ambia.
Samsul Zulkifli, 9, sedang mengambil wudhuk ketika mahu menunaikan solat Zuhur secara berjemaah bersama rakan-rakannya yang lain. - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Nyanyian nasyid ini selalunya diketuai oleh adik Ambia sendiri iaitu, Shaik.
“Shaik suaranya sangat merdu. Dia selalunya akan mengetuai nasyid, dan selalu menjadi bilal di rumah ini, “ jelas Mama.
Selepas beberapa kali menjalani latihan, mereka berehat di dalam rumah sementara menunggu waktu berbuka.
“Selalunya pada waktu Ramadan ini kami akan berbuka di luar, kerana jemputan orang lain. Tapi kalau berbuka di rumah, ada sahaja yang membantu kami memberikan makanan. Selalunya pada jam 6.30 itu kami akan bersedia untuk berbuka.
“Kami yang besar-besar ini akan tolong sikit-sikitlah Mama dan Abah (Johari Basri) untuk susun atur makanan dan meja di luar,”kata Ambia ketika sedang berehat di ruang tamu.
Belum sempat menyambung ceritanya, Ambia pun berkata : “Alamak, sebentar ya kak. .”
Dibantu dengan beberapa adik-adiknya yang dikenali Fitri dan Intan, mereka mengangkat baju di ampaian rumah mereka.
Baju-baju itu kemudiannya diletakkan di ruang tamu dan mereka kemudiannya memilih pakaian mereka.
Sambil melipat baju, mereka menyanyikan satu lagu yang saya rasa asing, tidak pernah didengarnya.
“Lagu apa tu?” soal penulis.
“Oh, ini lagu rumah kami. Kami selalu nyanyi secara rambang kak, haha,” tawa Ambia.
Fitri (kiri) dan Intan (kanan) sedang membantu Ambia mengangkat baju penghuni-penghuni ketika awan dilihat mendung pada petang yang hening itu. - Astro AWANI /MARIAH AHMAD
Kurma, Maghrib dan Tarawih.
Kira-kira jam 6.00 petang, penulis lihat ada di antara mereka mula melakukan aktiviti hafazan antara mereka selepas mereka selesai melipat baju.
Seperti yang Ambia katakan sebelum ini, kira-kira jam 6.30 mereka akan mula berbuka.
Sebuah kereta Kancil berwarna putih mendekati rumah ini, tampak seorang wanita membawa beberapa kotak yang berisi kek cawan yang mahu diberikan kepada penghuni rumah ini.
Tidak selang beberapa minit, beberapa bungkusan makanan nasi berlauk dibawa oleh pengunjung yang berasingan.
Dalam pukul 7.00 petang mereka mula menyusun meja dan kerusi, bersedia untuk berbuka bersama-sama.
“Selalunya kami akan bertahlil bersama ustaz yang akan datang ke rumah kami. Kemudian kami akan makan sikit, seperti kuih dan kurma, dan sembahyang Maghrib. Selesai sahaja sembahyang Maghrib, baru kami akan makan nasi,” jelas Anna yang ketika itu sedang membantu Ambia mengagihkan makanan kepada penghuni rumah itu.
Shaik mengetuai bacaan tahlil, sambil dibantu seorang ustaz.
Azan Maghrib dilaungkan, maka mereka pun berbuka dengan beberapa biji kurma, kuih dan air.
"Terima Mama Abah. Maaf saya tidak tahu bagaimana mahu membalas."
Memang tidak dinafikan, perasaan sebak, sayu itu hadir di sudut hati penulis tatkala meluangkan sehari bersama mereka. Namun perasaan itu perlu disorokkan kerana kita tahu, tangisan tidak dapat menggantikan mereka yang tersayang, terutama jika insan itu bernama ibu atau ayah.
Anak-anak di rumah ini pun menyedari perkara ini, walaupun pahit, mereka tahu mereka perlu tabah dan gagahkan diri teruskan hidup.
“Saya bukan seorang yang suka menyimpan memori-memori ini kak. Memang kita sedih, tapi kita perlu teruskan hidup. Saya seorang yang kalau kita gembira, kita gembira. Kalau kita sedih, kita sedih sahajalah kak. Saya tidak suka simpan memori,” tegas Ambia yang dilihat sebagai seorang remaja yang matang dan tabah.
Ambia sedar dia sebagai seorang yang paling lama dan tua di rumah ini, dia perlu kuatkan diri bagi membantu adik-adiknya yang lain untuk berdikari meneruskan hidup.
Bagi Shaik, kawan-kawan sekeliling dalam rumah itu yang menutupi kesunyingan tanpa kehadiran ibu bapa di samping mereka.
“Saya suka dengan gelagat adik-beradik di sini yang membuat saya gembira bila saya teringat benda-benda sedih karenah merekalah yang mengembirakan hati saya,” ujar Shaikh.
Ketika bertanya kepada Anna, dia menjawab bahawa dia gembira berada di sini kerana dan penjaga-penjaga di sini sentiasa membantu dirinya ketika dalam kesedihan.
“Apa yang saya suka duduk di Rumah Bakti ini, saya boleh bercakap mengenai masalah yang saya hadapi. Ada , kawan yang .
“Kalau duduk seorang diri, kita akan pendam perasaan itu. Memang kami tidak lagi punyai mak dan ayah, namun kami ada Mama dan Abah, serta kawan-kawan yang lain boleh mendengar luahan kami,” tambah Anna yang dilihat cuba menyorokkan sebaknya.
Tidak dapat menahan air mata di sebalik kelopak matanya lagi, dapat dilhat beberapa titisan air mata mula jatuh ke bumi tatkala dia menceritakan betapa syukurnya dia berada di sini, dan tidak tahu bagaimana untuk membalas jasa penjaganya.
Karenah dan tawa riang kawan-kawan di Rumah Bakti Nur Syaheera sentiasa menutupi rasa kesunyian ketiadaan ibu bapa di samping mereka. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD
“Saya dari darjah tiga sehingga tingkatan tiga sekarang, saya nak ucap terima kasih kepada Mama dan Abah, yang telah menjaga saya,” sayu Anna meluahkan perasaannya dan terhenti sebelum menghabiskan ayatnya.
“…..sebab saya tidak punyai apa-apa nak bagi balik kepada mereka. Jasa mereka itu saya tidak dapat membalas. Dan saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Mama, Abah, mereka yang pernah menjaga saya, kawan-kawan saya. Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak.
“Saya tidak sempurna, dan seringkali saya membuat kesilapan. Namun Mama, Abah dan kawan-kawan sentiasa tabah dan sabar dengan perangai saya. Jadi, terima kasih banyak-banyak. Hanya dengan doa saya mampu balas jasa-jasa mereka,” jelas Anna sambil mengusap pipi yang sudah bergelenang air mata.
ibu mengandung
Ketika sedang merekodkan Sehari Dalam Hidupku Bersama Rumah Bakti Nur Syaheera, saya lihat rata-rata anak-anak rumah ini rajin membaca Al-Quran dan ramai di antara mereka sudah pandai menghafal beberapa surah Al-Quran.
Melihat keadaan ini saya rasa seperti bak kata pepatah “Sejuk perut ibu mengandung”. Penulis percaya, dalam hidup ini tiada yang kebetulan, hanya suratan takdir. Begitu juga dengan pertemuan bersama penghuni Rumah Bakti, ada hikmah yang telah disediakan Tuhan untuk kita mencarinya.
Muhammad Iman Ramadhan, 12, sedang mengimamkan solat Zuhur di Rumah Bakti Nur Syaheera, Taman Jaya Baru Cheras. Rata-rata penghuni rumah ini mahir membaca Al-Quran dan rajin menghafaz Al-Quran berdasarkan pemerhatian wartawan dalam program sehari bersama mereka. - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Penghuni Rumah Bakti Nur Syaheera sedang bersolat Tarawih bersama-sama di koridor rumah mereka. - Astro AWANI - MARIAH AHMAD
*Bagi anda yang mahu melihat senyuman anak-anak ini terus terukir anda boleh menghulurkan sumbangan kepada Akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur : 5648 5611 1166.
**Untuk maklumat lanjut anda juga boleh menghubungi Pengerusi Rumah Bakti Nur Syaheera Johari Haji Basri di talian 012-2922542 atau layari nursyaheera.com.
#jendela ramadan
;