"Moga-moga rumahnya tidak hancur"

Wan Syamsul Amly
Mac 25, 2013 20:16 MYT
SEMINIT bertafakur memperingati wira negara yang terkorban sepanjang Ops Daulat pada sambutan Hari Polis di Felda Sahabat menjadi permulaan hari saya.
Pemergian sahabat yang syahid saya tahu, menjadi azimat anggota keselamatan yang ada di sini untuk terus membela kedaulatan negara.
Semangat anggota polis yang ditugaskan di sini terus membara apabila dua orang nombor dua pasukan polis negara dan negeri, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang sendiri hadir meraikan hari bersejarah ini bersama mereka.
Memotong kek dan menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi' bersama anggota polis sempena sambutan hari Polis ke 206 mengingatkan saya bahawa kerjaya ini merupakan antara cita-cita asal ketika sekolah rendah selain jadi tentera dan bomba.
Pada sebelah petang, saya mengambil keputusan untuk berada di penempatan Embara Budi bersama majoriti penduduk Kampung Tanduo yang dijangka boleh pulang ke rumah masing-masing minggu ini.
Sehingga saya menulis artikel ini, jumlah penduduk kampung yang berada di penempatan sementara adalah 1,409 orang. Jumlah ini kalau mengikut logiknya pasti berkurang seandainya minggu ini mereka akan mula dipindahkan semula ke rumah masing-masing.
Rasa takut takut juga sudah mula berkurangan di kalangan penduduk yang trauma pada awal kejadian pencerobohan berlaku. Saya tahu mereka pasti tidak sabar untuk pulang selepas mengetahui kampung mereka kini pada peringkat akhir operasi pembersihan.
Saya berjumpa Ramlah, seorang penduduk di sini. Umurnya lewat 40-an. Dia orang Suluk dan kehilangan suami empat tahun lalu. Dia berniaga kecil-kecilan ambil upah menjahit baju.
Dia berharap kalau tidak esok atau lusa, dalam minggu ini dia tentu akan dibenarkan pulang ke rumah dan bolehlah dia meneruskan kehidupan sehari-hari seperti sebelum pencerobohan ini.
Sudah hampir sebulan Ramlah tinggal di pusat penempatan ini, lokasi yang letaknya 10 kilometer dari rumahnya.
Makan hasil masak ramai-ramai dan bantuan bahan mentah sumbangan kerajaan menjadi hidangan pagi, tengahhari dan malam bukan sahaja kepada Ramlah tetapi semua penghuni penempatan.
Ditanya apa kerumitan yang dia hadapi, Ramlah hanya tersenyum. Saya mengandaikan tiada masalah kecuali kekurangan pakaian kerana kebanyakan penduduk meninggalkan rumah sehelai sepinggang sejak mula mendiami pusat penempatan.
Saya lihat anak-anak kecil pula membuat kerja sekolah di atas tilam — panas, tanpa kelengkapan lengkap.
Namun gigih wajah yang mereka tunjukkan memberi keyakinan bahawa hidup mereka akan lebih cerah selepas ini dan ia bukan mimpi di siang hari.
Ramai juga yang saya jumpa di sini; menghabiskan masa beberapa minit bertanya khabar walaupun saya bukan wakil rakyat — sekadar prihatin dan mungkin bersembang bersama dapat melegakan hati mereka yang runsing selain mendengar pelbagai pengalaman tapi yang pasti bukan rungutan. Selebihnya, kita hanya mampu berdoa agar semuanya akan segera berakhir.
Sebelum senja, saya berjumpa seorang sumber, bertanya situasi atau keadaan sebenar di kampung zon merah yang dikatakan boleh mula diduduki minggu ini.
"Rumah kebanyakannya sudah hancur, rosak teruk. Faham-fahamlah kawasan perang. Rumah ini bukan lagi untuk penduduk mula duduki tapi mungkin kunjungan sekejap sahaja, kalau diberi peluang masuk," katanya.
'Teh nai peng' (teh ais), minum petang bersama sumber cepat-cepat saya habiskan.
Teringat Ramlah yang terlalu berharap dapat pulang ke rumahnya minggu ini.
Dalam hati saya berdetik: "Moga-moga rumahnya tidak hancur."
#Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu #wan syamsul amly
;