MOF minta orang ramai berwaspada penipuan STR, SARA

Bernama
Mei 10, 2024 18:39 MYT
MOF tidak pernah membenarkan pihak ketiga untuk menggunakan nombor talian telefon rasmi MOF. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan talian rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk meminta bayaran dalam jumlah yang besar.
MOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan panggilan tersebut dibuat secara rawak dan meminta orang ramai membuat laporan polis sekiranya menerima panggilan sedemikian.
"MOF tidak membenarkan pihak ketiga untuk menggunakan nombor talian telefon rasmi MOF," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu juga memberitahu mana-mana pegawai MOF tidak dibenarkan untuk mengutip bayaran daripada orang ramai bagi sebarang tujuan.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan STR atau SARA MOF di talian 03-8882 4565/4566 untuk sebarang pertanyaan mengenai kedua-dua bantuan berkenaan.
-- BERNAMA
#scam #Sumbangan Tunai Rahmah #Str #Sumbangan Asas Rahmah #sara
;