Modul PLKN 3.0 dirangka sesuai umur peserta

Hasimi Muhamad
Mac 25, 2024 11:58 MYT
Menurut Adly, ketika ini kementerian sedang memuktamadkan sesi libat urus dan modul termasuk ko-kurikulum dan latihan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan, modul latihan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dirangka bersesuaian dengan tempoh dan tahap usia peserta.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, program itu dijangka melibatkan pelajar sekolah menengah dan belia termasuk penuntut institusi pengajian tinggi.
"Ia melibatkan pelajar kita di peringkat sekolah menengah dan kita lihat di universiti juga sebab itu kita lihat kadang-kadang ada pelajar-pelajar yang tidak memasuki univerisiti, (maka) mereka itu juga kita golongkan dalam kalangan belia yang terlibat dalam PLKN ini.
"Itu sebab kalau kita lihat modul-modul kita ini, saya fikir bila kita muktamadkan nanti latihan-latihan ini bukan sahaja melibatkan pelajar di peringkat menengah, tetapi ia juga melibatkan pelajar-pelajar universiit atau yang tidak masuk universiti," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Adly (PH-Alor Gajah) menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh), yang mahu tahu sama ada PLKN membabitkan pelajar sekolah menengah atau turut melibatkan golongan belia.
Beliau menambah, ketika ini kementerian sedang memuktamadkan sesi libat urus dan modul termasuk ko-kurikulum dan latihan.
Program PLKN 3.0 dijangka berasaskan 80 peratus latihan ketenteraan, manakala 20 peratus lagi aspek kenegaraan.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN setelah ditangguhkan lebih lima tahun dan program itu akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara.
#Adly Zahari #PLKN 3 0 #Modul PLKN 3 0 #Program Latihan Khidmat Negara
;