Modul pendidikan sivik diajar 4 jam seminggu - Maszlee

Asyraf Roslan
Ogos 12, 2019 05:12 MYT
Maszlee berkata langkah ini perlu kerana pendidikan sivik perlu diterapkan di dalam kehidupan seharian dan bukan hanya di dalam bilik darjah. -Gambar Astro AWANI
Modul pendidikan sivik akan diajar selama empat jam seminggu dan dipraktikkan dari pelajar prasekolah hingga ke tingkatan lima.
Selain diterapkan dalam subjek-subjek sedia ada, modul ini juga akan diajar semasa perhimpunan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata langkah ini perlu kerana pendidikan sivik perlu diterapkan di dalam kehidupan seharian dan bukan hanya di dalam bilik darjah.
Selain guru, kesemua pihak juga bertanggungjawab dalam memastikan nilai-nilai di dalam subjek pendidikan sivik dapat diguna pakai dalam kehidupan murid, kata Maszlee.
"Mereka akan disajikan dengan nilai-nilai ataupun huraian kepada nilai-nilai tersebut.
"Itu yang kita maksudkan tentang peranan sebagai warganegara, pendidikan tentang demokrasi, alam sekitar, hormat keluarga, hormat muhibbah, saling memahami menghormati disamping isu berkaitan integriti, rajin bekerja dan lain lain lagi."
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program Agenda AWANI.
Tambahnya, guru-guru juga harus menghayati nilai sivik yang diajar di sekolah yang melibatkan cara mereka berfikir, menilai dan memahami kehidupan.
Pada Selasa, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat pengumuman rasmi mengenai Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan.
#Agenda Awani #empat jam seminggu #kehidupan seharian #Maszlee Malik #Modul pendidikan sivik #prasekolah #Tingkatan Lima
;