Modul pendidikan keselamatan jalan raya disemak semula

Rahimah Abdullah
Februari 19, 2016 08:00 MYT
LIOW: Semakan semula modul itu dilakukan sepanjang tahun ini dengan menambahkan pelbagai maklumat semasa termasuk isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu. - Gambar fail
Kerajaan menyemak semula modul pendidikan keselamatan jalan raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah yang dilaksanakan sejak 2007.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, semakan semula modul itu dilakukan sepanjang tahun ini dengan menambahkan pelbagai maklumat semasa termasuk isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu.
Ujarnya, inisiatif yang dikenali sebagai Projek Semakan dan Pembangunan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memantapkan kaedah pendidikan keselamatan jalan raya.
"Kita perlu lakukan kajian setiap 10 tahun sekali kerana kita mulakan dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3. Jadi, sekarang apabila kembali kepada (pusingan kedua) ia telah melalui perubahan kerana sekarang terdapat banyak gajet elektronik," katanya dalam sidang media selepas selepas merasmikan PKJR, di sini Khamis.
Liow berkata satu pendekatan dan kurikulum baru perlu diwujudkan memandangkan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan berbeza dengan sebelum ini.
"Antara lain, melalui semakan semula modul berkenaan, guru-guru akan turut diberi latihan dalam aspek keselamatan jalan raya termasuk pendedahan maklumat mengenai keselamatan pejalan kaki, penunggang motosikal dan penggunaan tali pinggang keledar yang betul," ujarnya lagi.
Semakan semula modul itu dijangka selesai akhir tahun ini dan akan mula diguna pakai di semua sekolah seluruh negara pada tahun hadapan.
Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mencadangkan PKJR dilaksanakan di sekolah pada 2007 dengan usahasama Kementerian Pendidikan sebagai satu langkah proaktif jangka panjang bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
#Liow Tiong Lai #modul pendidikan keselamatan jalan raya #PKJR
;