Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI kenang jasa pemimpin terdahulu - PM Anwar
Astro Awani
Jun 5, 2024 20:18 MYT
Jun 5, 2024 20:18 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang dilancarkan hari ini akan berteraskan prinsip Perlembagaan dan mengambil kira tuntutan zaman.
Perdana Menteri berkata, modul latihan berkenaan juga mengenang sumbangan pemimpin, pejuang negara terdahulu serta daya juang rakyat.
Jelasnya lagi, anak-anak muda perlu kembali ke landasan untuk bersama-sama mengangkat negara dan mengenali sejarah negara termasuk kemerdekaan hasil sumbangan dan penyertaan semua kaum.
"Maka dalam tradisi latihan dan modul ini, ia harus mencalar dan mengasak supaya kita berfikir berdasarkan nilai antara yang baik dan buruk, antara makruf dan mungkar, serta antara yang hak dan batil.
"Maka penerapan nilai ilmu dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa dan dunia digital, kecerdasan buatan (AI), dan pelbagai karenah serta cabaran baharu.
"Ia menuntut kelayakan dan kefasihan mereka (tenaga pengajar) daripada sejarah, Perlembagaan, daya juang, cabaran masa depan - yang semuanya berteraskan nilai etika dan akhlak," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia di sini pada Rabu.
Perdana Menteri menambah Akademi Kenegaraan Malaysia diasaskan untuk membina kekuatan baharu dalam kalangan anak-anak muda termasuk peribadi unggul, membina kekuatan dan bibit kecintaan kepada negara.
"Kita bersyukur kerana jasa yang terdahulu, yang memberikan kekuatan dan kita harus pelajari kelemahan-kelemahan yang menyebabkan kita terpaksa menghadapi cabaran.
"Kita kemudian merangka dasar-dasar yang jelas dan belajar daripada kelemahan-kelemahan yang lalu. Ada kekuatan, yang saya sebut tadi landasan yang baik dan kita secara ikhlas dan jujur menerima kelemahan-kelemahan dan ini harus difahami, dirungkai dan kemudian diperbaiki," ujarnya.
Anwar berkata, Akademi Kenegaraan Malaysia juga harus tegas agar ia tidak menjadi medan untuk memecah belah rakyat dan menanam sifat kebencian.
Tegas Perdana Menteri lagi, agenda menyelamatkan negara disifatkan lebih penting berbanding usaha untuk perebutan (kuasa) dan caci-maki.
Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan MADANI.
Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan, menggabungkan kaedah konvensional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.
Tiga elemen utama diadun untuk menghasilkan modul Program Latihan Kenegaraan berteraskan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia MADANI, yang mana modul yang dibangunkan adalah berbentuk kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam.