Modul berkaitan psikologi diguna pakai dalam dasar pemisah bagi pegawai kerajaan

Bernama
Disember 3, 2015 00:13 MYT
Mohd Zabidi (kiri) bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (tengah) dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam program bersama media di auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam pada Rabu. - Foto Bernama
Modul Inovasi Psikologi dan Teknik Bersepadu Modifikasi Tingkah Laku (PSYNNOVA) akan diguna pakai sebagai satu daripada mekanisme dalam pelaksanaan Dasar Pemisah bagi pegawai kerajaan yang mempunyai prestasi rendah dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pegawai yang mendapat markah kurang daripada 60 peratus dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) akan mengikuti PSYNNOVA, antara lain untuk menilai punca kemerosotan kerja mereka.
"Ini satu lagi tekanan kepada penjawat awam untuk kita mengetahui apakah masalah mereka, adakah ada masalah keluarga atau peribadi," katanya pada Malam Persada Psikologi 2015 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bekerjasama dengan Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) merangka rang undang-undang Pengamal Psikologi bagi memberi perlindungan dan kawal selia ke atas penyediaan serta pengamalan psikologi di negara ini.
Beliau berkata kerjasama strategik dalam bidang profesional secara menolong itu penting antara lain untuk menyediakan modal insan yang berkualiti.
"Kolaborasi strategik antara agensi perkhidmatan awam dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang ini menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan psikologi yang memberi hasil kepada kesejahteraan modal insan penjawat awam secara sistematik," katanya.
Mohamad Zabidi memberi contoh pembentukan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan pewujudan Lembaga Kaunselor yang berfungsi sebagai badan kawal selia berkaitan pemberi khidmat kaunseling secara profesional merupakan satu bentuk kerjasama strategik antara kerajaan dan NGO.
Malam Persada Psikologi 2015 diadakan bagi mengiktiraf pegawai psikologi dan kaunselor di seluruh negara yang banyak menyumbang bukan sahaja kepada perkhidmatan awam tetapi di persada antarabangsa.
Ia dianjurkan oleh pelbagai pihak antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam dan PSIMA menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
Pada majlis itu juga menyaksikan beberapa kementerian termasuk KKMM, KBS, KPM, Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan meraih Anugerah Lima Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia Tahun 2015 kerana mendapat naziran cemerlang dalam melaksanakan program psikologi sumber manusia.
#dasar pemisah #modul #Mohamad Zabidi Zainal #pegawai kerajaan #PSYNNOVA