Modul baharu pengurusan kewangan diperkenal kepada pelatih PLKN

Syah Hairizal Kamalul Arifin
April 18, 2016 17:38 MYT
Modul berkenaan diharap dapat membantu melahirkan belia celik pengurusan kewangan.
Satu modul baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenal bagi mendidik pelatih berhubung isu pengurusan kewangan.
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid memaklumkan modul berkenaan diharap dapat membantu melahirkan belia celik pengurusan kewangan.
Jelas Ehsannuddin, pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan modul berkenaan setelah melihat senario semasa di mana belia sering dibelenggu masalah kewangan akibat kurang pengetahuan berhubung aspek pengurusannya.
Ini termasuk penggunaan kad kredit yang tidak terkawal, pinjaman peribadi, sehingga mendorong kepada kes muflis dalam kalangan belia.
"Modul pengurusan kewangan baik ini akan dilaksanakan seiring dengan modul-modul lain di dalam PLKN seperti disiplin, jati diri dan hormat menghormati.
"Melalui pengurusan kewangan yang kita bagi ini saya yakin ia akan memberi satu impak besar dalam tempoh dua atau tiga tahun ini," ujarnya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Tambahnya, modul itu akan diteruskan dan kekal menjadi modul penting program berkenaan.
Ehsannuddin menjelaskan, selain usaha di pihak PLKN, usaha meningkatkan kesedaran berkenaan pengurusan kewangan juga perlu dicontohi pihak berkepentingan lain.
Ini termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan, NGO.
"Pengurusan kewangan yang baik yang kita mulakan di PLKN perlu ada kesinambungan supaya budaya ini boleh dibina dalam tempoh waktu yang panjang,
"Oleh itu peranan perlu dimainkan oleh Badan Bukan Kerajaan NGO, Pergerakan Pemuda UMNO dan ahli politik agar berjaya menarik golongan muda untuk melihat perkara ini sebagai penting dan utama.
"Mereka (golongan belia) perlu melihat perkara ini sebagai penting kerana ini adalah masa depan depan mereka dan untuk berjaya di masa depan perlu ada pengurusan kewangan yang baik," ujarnya.
Statistik 2014 menunjukkan golongan belia menyumbang kepada 34 peratus kadar muflis berpunca daripada pembelian kenderaan, pinjaman peribadi dan pemilikan kad kredit.
#Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid #modul baharu #pengurusan kewangan #plkn #Program Latihan Khidmat Negara
;