Modi mahu lebih penyertaan Malaysia dalam pembangunan India

Nurulhana Ismail
November 23, 2015 08:36 MYT
Narendra Modi berkata Malaysia mempunyai reputasi serta rekod yang cemerlang dalam membangunkan projek-projek infrastruktur-Foto AWANI
Perdana Menteri India, Narendra Modi yakin hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.
Sehubungan itu beliau berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya perjanjian bilateral antara kedua negara, Perjanjian ASEAN serta Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke arah mencapai matlamat itu.
"Hubungan perdagangan dan pelaburan kedua negara boleh ditingkatkan secara lebih signifikan lagi dan kami mahu menggunakan sepenuhnya peluang ini melalui perjanjian-perjanjian seperti perjanjian bilateral, ASEAN dan RCEP untuk menjayakan hasrat ini."
Beliau berkata Malaysia mempunyai reputasi serta rekod yang cemerlang dalam membangunkan projek-projek infrastruktur.
Ketika ini Malaysia terlibat dalam projek pembinaan jalanraya di India dan beliau mahu melihat penglibatan Malaysia dalam sektor itu diperluas.
Ini termasuk pembinaan projek bandar pintar di india.
Selain itu katanya, syarikat-syarikat India di Malaysia adalah antara penyumbang kepada ekonomi Malaysia dan mahu penyertaan tersebut diperbanyakkan dan ditingkatkan.
Modi turut berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) bagi menambah baik sektor pengurusan dan pentadbiran awam negara itu.
Perdana Menteri India itu turut berpuas-hati dengan rundingan yang dicapai bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor perubatan dan kesihatan termasuk bidang perubatan alternatif India, Ayurveda.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semepena kunjungan rasminya ke negara ini di Putrajaya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata rakan sejawatannya itu telah menyatakan hasrat untuk memeterai kerjasama kerajaan-ke-kerajaan untuk membina sebuah pusat konvensyen di New Delhi.
"Perdana Menteri Modi telah menyampaikan hasratnya untuk kerjasama kerajaan-ke-kerajaan antara Malaysia dan India untuk pembinaan sebuah pusat konvensyen di New Delhi. Kedua-dua pihak bersetuju untuk melantik seorang pegawai daripada kedua-dua negara untuk menyelia projek berkenaan," kata Najib.
#ASEAN #bilateral #India #Modi #pemandu #RCEP