Model sambilan didenda RM18,000, penjara 5 tahun sebabkan kematian

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 22, 2020 13:22 MYT
Ng yang mengalami tekanan selepas kejadian pernah dipanggil memberi keterangan membela diri dalam kandang saksi sebelum ini. - Gambar fail BERNAMA
Model sambilan yang dituduh memandu secara melawan arus dan menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang tiga tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000.
Majistret Sri Praca Nanthini Balabedha membuat keputusan ke atas tertuduh, Ng Pei Ven, 22 tahun, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Selain denda dan penjara, lesen percubaan tertuduh juga dibatalkan dan Ng akan dipenjara dua tahun jika gagal menjelaskan denda.
Tertuduh disabitkan kesalahan kerana pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada orang lain kerana kesalahan tertuduh serius dan menyebabkan kematian.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Lim Boon Beng, merayu hukuman ditangguhkan kerana anak guamnya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) selain kejadian adalah kemalangan dan bukan keganasan.
BACA: Pandu lawan arus: Model sambilan bebas pertuduhan masukkan dadah dalam badan
BACA: Pemandu lawan arus didakwa kes dadah
BACA: Kemalangan melawan arus, polis terima empat laporan
Tertuduh yang mengalami tekanan selepas kejadian juga dipanggil memberi keterangan membela diri dalam kandang saksi sebelum ini.
Berikutan itu, mahkamah membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 untuk membuat rayuan.
Tertuduh sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada 7.50 pagi 14 Mac 2017.
#Akta Pengangkutan Jalan #denda #ikat jamin #kemalangan #Lebuhraya Utara Selatan #lembam #lesen memandu #lesen percubaan #mahkamah #melawan arus #membela diri #model #OKU #pandu lawan arus #penjara #tangguh hukuman #tekanan
;