Model pendidikan dalam talian perlu diteroka, hadapi cabaran pendidikan masa hadapan
Madiha Abdullah
April 19, 2021 11:40 MYT
April 19, 2021 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Model pendidikan dalam talian perlu terus diteroka dan melalui proses pematangan bagi menghadapi cabaran pendidikan di masa hadapan.
Ini kerana kegagalan menguasai model pendidikan tersebut boleh membawa pelbagai masalah ketika seluruh dunia mula mengaplikasikan pendidikan jarak jauh dan dalam talian bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran diteruskan dalam apa sahaja situasi.
Dua tenaga pengajar masing-masing dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nurul Ain Chua Abdullah dan Dr Goh Ying Soon sependapat melihat model pendidikan dalam talian sebagai hala tuju baharu yang perlu diusahakan oleh penyelidik.
"Secara tidak sedar dan disangka, pengajaran dalam talian telah memasuki arus perdana di pengajian tinggi.
"Jerman, salah sebuah negara terbesar di Eropah, juga melaksanakan pengajaran dalam talian tanpa adanya strategi pengurusan, latihan guru, reka bentuk teknikal atau politik, dan perbahasan pro dan kontranya.
"Sememangnya keadaan ini telah mencabar pelaksanaan pengajaran dalam talian," kata mereka yang merupakan pensyarah Jabatan Bahasa dan Komunikasi, dalam satu kenyataan bersama.
COVID-19 secara tidak langsung mendedahkan perkembangan model pengajaran digital, elektronik dan talian internet adalah agak lambat, lemah, dan masih belum menyeluruh.
"Kerajaan Persekutuan Jerman telah mempromosikan 'kemampuan digital' sebagai konsep utama pendidikan selama beberapa tahun, dan memperuntukkan 5 bilion euro pada tahun 2019 untuk memodenkan infrastruktur internetnya dan meningkatkan kelengkapan peralatan digital bagi 43,000 sekolah di Jerman.
"Ini memperlihatkan pendidikan dalam talian di Jerman sebenarnya masih tidak cukup komprehensif dan matang. "
Di Asia, Jepun juga melalui situasi yang sama apabila penutupan sekolah ketika pandemik telah menyukarkan pelajar Jepun yang miskin untuk mendapatkan makanan dan perkhidmatan sosial yang lain.
"Kemampuan Jepun dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan berkesan ke dalam kurikulum sekolah masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang lain," tambah mereka.
Justeru, mereka berpendapat untuk menghadapi cabaran ketidakseimbangan pendidikan pada masa hadapan, ketenangan dan kekangan yang dilalui merupakan asas pelaksanaan pendidikan dalam talian namun usaha pemantapannya tidak harus diabaikan.
#pendidikan
#pengajaran dan pembelajaran
#pandemik
#COVID-19
#UiTM
#umt
#pelajar
#guru
#Internet
#pendidikan dalam talian
#OECD