Model Malaysia tangani Zika setaraf Singapura - KP Kesihatan

Azyyati Ahmad
September 4, 2016 06:21 MYT
Kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan juga sedang memperkemaskan dan mengintegrasikan pengesanan penyiasatan dan rawatan penyakit dari pembawaan nyamuk itu. - Foto Facebook
Model digunakan Malaysia bagi menangani virus Zika setaraf dengan Singapura yang turut diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa Malaysia juga mempunyai keupayaan dan kepakaran seperti negara jiran itu.
"Insya Allah (kita boleh menanganinya). Kita pun sudah diiktiraf oleh WHO antara yang terbaik," kata Noor Hisham kepada Astro AWANI menerusi sistem pesanan ringkas SMS.
Kementerian juga katanya sedang memperkemaskan dan mengintegrasikan pengesanan penyiasatan dan rawatan penyakit dari pembawaan nyamuk itu.
Ketika ini terdapat 12 hospital dan lima makmal kesihatan awam yang boleh melakukan pengesanan genom virus.
Ia berupaya mengesan Zika, denggi dan chikungunya secara serentak dengan mengoptimumkan IMR melalui serum dan air kencing.
Beliau juga menegaskan tindakan bersepadu dari rakyat juga perlu dilakukan segera seperti memberi kerjasama bagi aktiviti kawalan vektor dan membuka pintu supaya semburan kabus boleh di lakukan di dalam rumah bagi membasmi virus Zika dan denggi.
Sehingga kini, dua orang di Malaysia telah dikesan dijangkiti Zika.
Kes pertama, seorang wanita berusia 58 tahun yang tinggal di Bandar Botanic, Klang, Selangor, positif jangkitan virus Zika seminggu selepas kembali dari Singapura pada 21 Ogos.
Manakala kes kedua, seorang lelaki berumur 61 tahun berbangsa Dusun yang menetap di Taman Public Jaya, Likas, Sabah yang telah meninggal dunia pada Sabtu akibat komplikasi jantung.
#Dr Noor Hisham Abdullah #WHO #Zika