Model konsolidasi, kluster berpusat tangani kekurangan pekerja industri getah

Bernama
Februari 28, 2024 06:00 MYT
Konsep di bawah model konsolidasi dan kluster berpusat melibatkan usaha mengendalikan suatu kawasan tidak bertoreh dengan hasilnya dijual terus kepada kilang pemprosesan tanpa khidmat beberapa orang tengah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan model konsolidasi dan kluster berpusat dalam usaha menangani kekurangan tenaga kerja tempatan dan asing dalam sektor huluan industri getah.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata strategi dilaksanakan KPK, turut melibatkan beberapa agensi pelaksana lain, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam rantaian bekalan.
Konsep berasaskan 'sebuah entiti' itu melibatkan usaha mengendalikan suatu kawasan tidak bertoreh dengan hasilnya dijual terus kepada kilang pemprosesan tanpa khidmat beberapa orang tengah.
"Entiti ini akan menguruskan operasi ladang getah termasuk memastikan bilangan tenaga kerja mencukupi bagi mendapatkan hasil yang dirancang.
"Melalui kaedah ini, kerajaan menjangkakan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor huluan industri getah dapat diatasi dan seterusnya membantu meningkatkan pengeluaran getah negara," kata kementerian menerusi jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Rabu.
KPK menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai langkah untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja tempatan dan asing dalam sektor getah negara.
Menyentuh langkah menstabilkan harga getah, KPK berkata Malaysia bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) bagi menstabilkan harga getah melalui langkah pengurusan bekalan serta meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara pengeluar.
"Pengenalan mekanisme pendapatan pekebun kecil di peringkat antarabangsa sedang dirangka bagi memberi manfaat kepada pekebun kecil.
"Ini khususnya bagi memastikan negara pengimport membayar harga berdasarkan kos pengeluaran dan kemampanan selaras dengan pematuhan kepada standard ditetapkan oleh negara pengguna," kata KPK.
-- BERNAMA
#Kementerian Perladangan dan Komoditi #Industri Getah #kekurangan pekerja #Parlimen
;