Model baru transformasi PLKN dilancar awal tahun depan - Hishammuddin
Hafiz Marzukhi
April 19, 2015 14:56 MYT
April 19, 2015 14:56 MYT
Model baharu transformasi Program Latihan Khidmat Negara dijangka akan dilancarkan awal tahun depan.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kesemua proses membentuk model tersebut sedang berjalan seperti yang dirancangkan.
Tambah beliau, sebanyak 50 inisiatif baharu mengenai modul latihan dan kaedah urus tadbir yang dicadangkan oleh Makmal tersebut.
"Namun,daripada jumlah tersebut, 23 sahaja yang akan dikembangkan setelah proses penapisan dibuat."
"Ketika ini, kami ingin mengambil maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan sebelum rangka model baharu boleh ditentukan," kata Hishammuddin.
Jelas beliau, pengambilan maklum balas ini penting kerana kerajaan turut mengambil berat pandangan masyarakat.
"Ini bagi membuktikan komitmen kami dalam merealisasikan transformasi yang bermanfaat dalam Program PLKN ini," kata Hishammuddin.
Beliau ditemui selepas melancarkan Portal Maklum Balas Transformasi PLKN ketika acara Hari Terbuka Transformasi PLKN yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya dari Sabtu hingga Ahad.
Portal tersebut akan dibuka dari hari ini sehingga 26 April.
Bagi yang berminat untuk beri maklum balas, boleh lawat laman sesawang www.transformasi.khidmatnegara.gov.my