MoC antara Jepun-Malaysia lengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk kembali ke pasaran - Duta

Bernama
Jun 28, 2022 19:33 MYT
Takahashi berkata walaupun terdapat kemungkinan rakyat Malaysia menjadi penduduk tetap di Jepun, tujuan utama MoC adalah untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Memorandum Kerjasama (MoC) yang dimeterai antara Malaysia dan Jepun pada bulan lepas akan menyaksikan pekerja mahir tempatan bekerja dan mengasah lagi kemahiran di Jepun, agar mereka dapat menyumbang kepada tenaga kerja tempatan selepas pulang ke tanah air.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi berkata MoC itu tidak bermakna Jepun mengambil tenaga kerja dari Malaysia.
"Idea asas program (MoC) adalah untuk menawarkan pekerjaan di Jepun untuk tempoh masa tertentu (sekitar tiga hingga lima tahun), antara lain dalam sektor perhotelan dan pertanian. Biasanya, selepas memperoleh kemahiran, rakyat Malaysia akan kembali ke pasaran tempatan.
"(Program) ini bukan satu sistem membawa tenaga buruh dari Malaysia ke Jepun, tetapi ia lebih kepada memberi nilai tambah dan kualiti di mana kami memberi latihan dan menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negara asal," kata Takahashi selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi di ibu pejabatnya di sini, pada Isnin.
Beliau seterusnya berkata walaupun terdapat kemungkinan rakyat Malaysia menjadi penduduk tetap di Jepun, tujuan utama MoC adalah untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Takahashi berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan pemain industri tempatan bahawa MoC boleh memburukkan lagi masalah aliran keluar tenaga mahir dan kekurangan tenaga kerja industri tempatan.
MoC itu ditandatangani antara Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Kehakiman Jepun Yoshihisa Furukawa pada 26 Mei.
Pada 28 Mei, Saravanan mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk melaksanakan MoC dan pertukaran dokumen MoC itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishido pada 27 Mei.
MoC akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi canggih di Jepun, serta dikenal pasti sebagai antara negara yang menawarkan kadar upah tinggi kepada pekerja mahir, tambah Saravanan.
Dalam perkembangan lain, Takahashi berharap sektor pelancongan antara kedua-dua negara beransur pulih terutamanya selepas Jepun membuka semula sempadannya secara rasmi kepada pelancong pada 10 Jun, pertama kali sejak pandemik COVID-19 melanda.
-- BERNAMA
#MoC #Jepun #pekerja mahir Malaysia #Katsuhiko Takahashi
;