Mobiliti sosial anak muda Melayu belum capai tahap optimum - Khairy

Bernama
November 7, 2016 18:08 MYT
KHAIRY: Anak muda Melayu masih berada di tangga kedua dalam kebanyakan indikator walaupun pendapatan isi rumah Melayu terus meningkat.
Kebolehan anak muda Melayu untuk melangkah ke tahap lebih baik dalam mobiliti sosial masih belum mencapai tahap optimum, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, berdasarkan kajian dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada bulan lepas, anak muda Melayu masih berada di tangga kedua dalam kebanyakan indikator walaupun pendapatan isi rumah Melayu terus meningkat
"Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan bagi mengangkat ekonomi Melayu, kita masih di belakang rakan kaum Cina di mana 90 peratus generasi baharu mereka meningkat dari segi strata ekonomi berbanding generasi terdahulu (Cina) berbanding hanya 73 peratus orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah 'Biz Challenge 2016' anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di sini, hari ini.
Katanya dari segi kemahiran pula, laporan itu menyebut hanya satu per empat atau 25 peratus daripada anak Melayu dengan ibu bapa berkemahiran rendah mampu melangkau naik dan menjadi profesional berkemahiran tinggi, berbanding kaum Cina dengan hampir 40 peratus.
"Kita perlu melahirkan anak muda Melayu yang tidak hanya bekerja dari pukul 8 (pagi) sehingga pukul 5 (petang) dan makan gaji di akhir bulan, tetapi kita memerlukan generasi Melayu muda yang bekerja 60-70 jam seminggu dan menjana pendapatan sendiri," katanya.
Khairy berkata usahawan Bumiputera perlu melakukan anjakan paradigma dalam perniagaan mereka supaya kekayaan mereka dapat diperluas selari dengan matlamat pemerkasaan bangsa.
"Jika betul-betul mahu melihat perniagaan Bumiputera berjaya di luar Malaysia, produk itu sendiri perlu dioptimumkan dengan teknologi agar ia betul-betul selari dengan keadaan semasa," katanya.
Beliau berkata mobiliti sosial mewujudkan sebuah kitaran yang berbahaya jika tidak ditangani dengan segera.
Pada majlis berkenaan, usahawan muda Hanis Bahaman merangkul hadiah utama dengan membawa pulang wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan pembiayaan perniagaan daripada PUNB sebanyak RM1 juta.
-- BERNAMA
#anak muda #generasi muda #Khairy Jamaluddin #Melayu #mobiliti sosial
;