MOA garis langkah tangani kesan El Nino terhadap sektor agro makanan
Bernama
Mac 19, 2016 08:00 MYT
Mac 19, 2016 08:00 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggariskan 13 langkah perlu diambil sektor agro makanan bagi menangani kesan fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini.
MOA dalam kenyataan berkata pelbagai langkah diambil bagi menangani kesan cuaca panas terutama di utara Semenanjung, Sabah dan Timur Sarawak yang memberi kesan berbeza terhadap tanaman, ternakan dan perikanan.
"Bagi tanaman terutama padi, kementerian menjalankan penyelenggaraan dan pembinaan telaga tiub melibatkan 281 telaga tiub sedia ada di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak," menurut kenyataan itu.
Sebanyak 1,718 pam bergerak berkapasiti 85 hingga 140 liter sesaat akan digunakan di samping menaik taraf kolam takungan sedia ada, dan pembinaan 'screw pump' yang baharu serta membangunkan Projek Pemindahan Air Jeniang, Kedah dengan kos projek sebanyak RM455 juta.
"Kekurangan air semasa cuaca panas boleh membantutkan pertumbuhan tanaman, mengurangkan produktiviti dan peningkatan beberapa penyakit seperti bintik perang dan 'blast'.
"Secara umum, pertumbuhan tanaman jangka pendek yang mempunyai akar cetek seperti sayur-sayuran, jagung, padi dan kacang tanah lebih mudah terjejas akibat cuaca panas atau kemarau walaupun dalam jangka masa singkat," menurut kenyataan itu.
Tangkapan marin terkesan
Bagi sektor perikanan, kementerian menghentikan eksport ikan rakyat seperti kembung, selayang, selar, cencaru dan pelaling serta membenarkan pukat jerut dari Pantai Timur Semenanjung beroperasi di perairan Sarawak, di mana sumber ikan pelagik kurang dieksploitasi.
"Tangkapan marin terkesan apabila suhu panas terhasil daripada El Nino menyebabkan berlaku perubahan habitat ikan pelagik yang mengakibatkan ikan berhijrah keluar sekali gus menjejaskan hasil tangkapan," kata kenyataan itu.
Sementara bagi perikanan akuakultur, kementerian itu berkata perubahan cuaca menyebabkan peningkatan suhu dan kandungan oksigen terlarut dalam air menurun, manakala kadar kepadatan plankton meningkat mengakibatkan ternakan ikan menjadi 'tertekan' dan memudahkan jangkitan penyakit serta kematian ikan meningkat.
Menurut kenyataan itu penggunaan peredaran semula air dilaksanakan bagi menggalakkan aktiviti menternak spesis berbeza bagi menghasilkan satu jenis makanan yang boleh dikitar semula.
Bagi ternakan pula, kementerian sedang mengedarkan pek makanan ternakan ruminan mengandungi kombinasi vitamin dan cecair tenaga, memastikan air minuman secukupnya bagi sistem ternakan intensif (tenusu) serta menyediakan palung air secukupnya di sekitar kawasan meragut bagi ternakan integrasi dan lepas bebas.
#fenomena El Nino
#kesan cuaca panas
#kesan cuaca panas pada tanaman
#MOA
#perladangan
#sektor perikanan