MMU bakal buka sesi akademik kepada pelajar baharu bermula September ini
Umavathi Ramayah
Ogos 20, 2020 09:00 MYT
Ogos 20, 2020 09:00 MYT
Universiti Multimedia (MMU) bakal memulakan sesi akademik kepada pelajar-pelajar baharu pada 14 September ini dengan pematuhan prosedur standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata ini adalah kali pertama MMU mengadakan pengambilan September kerana kebiasaannya pengambilan pelajar baharu dilakukan pada April, Julai dan November pada setiap tahun.
"Pengambilan September sebenarnya adalah kohort kedua dalam pengambilan Julai yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar yang terlepas peluang memasuki sesi Julai akibat penularan COVID-19," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, di sini, pada Rabu.
Mazliham yang dilantik menerajui MMU berkuat kuasa 1 Ogos lalu itu menambah sebagai sebuah universiti yang menjadi pencetus trend atau trendsetter university dalam pendidikan tinggi negara, MMU menawarkan beberapa program baharu secara berperingkat termasuk Sarjana Muda Sains Komputer (Siber Sekuriti) pada pengambilan September ini.
Sementara itu, lain-lain program yang akan ditawarkan mulai November, katanya, adalah termasuk Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Falsafah (Komunikasi).
Selain itu, MMU turut menawarkan program Diploma Sinematografi dan Diploma Penghasilan Kreatif Digital mulai April tahun hadapan.
"Kita (MMU) sentiasa menawarkan program-program yang menjadi perintis dan menepati keperluan industri serta kehendak pasaran kerja semasa," katanya.
Ekoran itu beliau mempelawa, mana-mana pelajar yang mempunyai diploma atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk memohon kursus-kursus teknologi maklumat (IT), Kejuruteraan Perniagaan dan Pengurusan dan multimedia kreatif di peringkat sarjana muda di yang ditawarkan di institusi itu.
"Peluang ini juga dibuka kepada para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di bidang diploma yang akan bermula bulan depan," katanya.
Beliau memberitahu, dalam ranking Times Higher Education World University Ranking 2020, MMU terpilih sebagai antara lima universiti teratas antara universiti swasta negara.
Selain itu ujarnya, MMU juga diiktiraf sebagai institusi yang menjadi pilihan untuk graduan IT oleh firma-firma Malaysia.
Pengiktirafan itu kata Mazliham, diumumkan oleh sebuah badan antarabangsa, Frost and Sullivan Asia Pacific untuk penemuan akhir bakat digital Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) 2017.
Ekoran itu, katanya, graduan lulusan MMU menjadi rebutan dalam pasaran kerja.
Menurutnya, hampir 90 peratus daripada graduan MMU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.
Mazliham yang dilantik sebagai presiden kelima MMU bagi menggantikan Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden universiti itu pada Februari lalu, yakin dengan pengalaman beliau hampir 25 tahun dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri pendidikan tinggi berasaskan teknologi, dapat mengukuhkan kedudukan MMU sebagai peneraju pendidikan berasaskan ICT, terutama dalam memperjuang inovasi dan keusahawanan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http://www.mmu.edu.my atau menghubungi talian 013-6133144 (kampus Cyberjaya) atau 06-2523298 (kampus Melaka).