MMN cadang tubuh bank perumahan bagi golongan berpendapatan rendah
Rahimah Abdullah
September 18, 2014 14:43 MYT
September 18, 2014 14:43 MYT
Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan mencadangkan agar Bank Perumahan diwujudkan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak berjaya membuat pinjaman rumah kos rendah dan sederhana rendah dengan bank-bank sedia ada.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu dijangka dibawa ke kabinet selepas pembentangan Bajet 2015 bulan depan.
Ujar beliau, bank sedia ada tidak dapat memberikan pinjaman perumahan kepada pemohon berikutan tidak memenuhi syarat-syarat ketat termasuk pendapatan yang ditetapkan Bank Negara.
"Bank Perumahan ada dicadangkan kerajaan negeri Johor di mana bank ini bagi memastikan secara khusus memproses permohonan-permohonan pinjaman perumahan,"
"Ada aduan pemohon tidak berjaya buat pinjaman sebab syarat Bank Negara yang agak ketat termasuk pendapatan bersih, dan fiskal polisi," katanya selepas Mesyuarat Majlis Negara untuk Kerajaan Tempatan ke-68 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Tambah beliau, Bank Perumahan mampu menjadi alternatif kepada pemohon jika tidak berjaya membuat pinjaman dengan bank lain termasuk bank perdagangan.
"Walaupun sekarang ni bank perdagangan mempunyai skim pinjaman perumahan tetapi sebab mereka ada pertimbangan lain dari segi keuntungan, risiko , kuota, berapa banyak dana diperlukan dalam perbankan,"
Ujarnya, Bank Perumahan dilihat lebih efisyen memandangkan tumpuannya hanya kepada aspek perumahan.
"Bank Perumahan ini boleh bertindak lebih cepat dan mengurus risiko pinjaman perumahan ini lebih berkesan sebab pengkhususan dalam satu portfolio sahaja iaitu perumahan," jelas beliau.