MMA terima 120 laporan buli, tekanan kerja daripada pegawai perubatan

Astro Awani
Mei 5, 2022 13:31 MYT
Dr Koh berkata, laporan diterima bukan hanya daripada housemanship atau latihan siswazah tapi juga daripada doktor biasa dan doktor pakar. - Foto Facebook/KMCManipalAlumni
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menerima lebih 120 aduan daripada kakitangan perubatan berhubung tekanan di tempat kerja sejak 2017.
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, laporan diterima bukan hanya daripada ‘housemanship’ atau latihan siswazah tapi juga daripada doktor biasa dan doktor pakar.
“Sejak 2017, kami telah terima 120 lebih aduan dan lebih kurang 80 peratus dari houseman, dari doktor dalam 15 peratus dan dari pakar pun ada dapat lima peratus.
“Jadi jangan sangka semua aduan datang daripada houseman, doktor lain pun hadapi masalah dalam pekerjaan. Semua orang ingat kebanyakan aduan daripada kes buli tapi sebenarnya bukan tapi tak dinafikan kes buli memang ada.
“Selain dari itu, ada yang menghadapi masalah mental, bukan masalah besar tapi work stress sebab mereka ada banyak kerja. Semasa masuk latihan, mereka menghadapi tekanan yang memang kuat.
“Aduan bukan hanya kes buli tapi sesetengah ada laporkan kes buli tapi lainnya adalah tekanan kerja,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Khamis.
BACA: Doktor junior menderita dengan waktu kerja tidak berperikemanusiaan - Norlela Ariffin
Bebanan waktu kerja doktor junior, apa penyelesaiannya?
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Norlela Ariffin hari ini mendakwa doktor junior di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah sekian lama menanggung waktu pekerjaan yang tidak berperikemanusiaan.
Dalam catatan di Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu berkata, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan pengalaman ahli keluarganya sendiri.
Tegasnya lagi, waktu pekerjaan seperti itu tidak akan ditanggung oleh golongan pekerja di sektor yang lain.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan seorang doktor junior di sebuah hospital di Pulau Pinang yang dikatakan meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan pejabat.
Ketua Pegawai Polis Daerah Timur Laut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, buat masa ini insiden itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
#MMA #KKM #kes buli #tekanan kerja #Doktor #pegawai perubatan #Dr Koh Kar Chai
;