MKN sasar usir 4,000 warga asing tanpa izin bulan ini
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Disember 3, 2019 07:30 MYT
Disember 3, 2019 07:30 MYT
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mensasarkan untuk menghantar pulang seramai 3,909 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang bulan ini.
Timbalan Pengarahnya Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata, jumlah itu hanya melibatkan PATI dari Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, sasaran itu dirancang untuk dijayakan bersama agensi berkaitan lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Sepanjang bulan Disember ini kami merancang untuk menghantar 3,800 orang PATI dari Filipina dan 109 orang PATI dari Indonesia.
“Termasuk jumlah itu, ia akan menjadikan jumlah PATI yang telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun 2019 seramai 11,340 orang.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran pulang PATI sejak 1990 sehingga 2019 adalah seramai 589,364 orang,” katanya pada satu sidang media di sini malam tadi.
Menurutnya, pihaknya sentiasa mempergiatkan usaha menghantar pulang PATI ke negara asal mereka dalam usaha mencapai misi membebaskan Sabah dari kebanjiran golongan itu.
#Filipina
#Imigresen
#Indonesia
#keselamatan
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#Muhammad Hafiz Abdul Rahim
#pati
#pendatang asing
#polis
#Sabah
#Sandakan