MKN Sabah usir 155 PATI Indonesia

Petrus Bernard
Disember 17, 2020 19:17 MYT
Bilangan PATI yang diusir sejak Januari 2020 hingga kini adalah seramai 7,053 orang.
TAWAU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengusir 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal pada Khamis.
Program pengusiran PATI siri ke-29 bagi tahun 2020 itu melalui jalan laut dengan menaiki kapal dari pelabuhan Tawau ke pelabuhan Tunan Taka Nunukan Indonesia.
Pengarah MKN Sabah, Siti Saleha Habib Yussof, dalam kenyataan hari ini, berkata bilangan PATI yang diusir sejak Januari 2020 hingga kini adalah seramai 7,053 orang.
"Jumlah itu termasuk 298 PATI yang diusir melalui udara iaitu Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong dan lain lain negara yang diuruskan oleh JIM Sabah".
"Sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, semua tahanan PATI menjalani saringan kesihatan dan dipastikan berada dalam keadaan sihat sebelum diusir dan Prosedur Operasi Standard(SOP) semasa pengusiran sentiasa diberi keutamaan," katanya.
Tambahnya MKN Sabah akan terus komited melaksanakan pengusiran PATI bagi mengelakkan pertambahan kes positif COVID-19 yang disebabkan oleh PATI yang memasuki negara ini secara haram.
Program pengusiran tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), polis dan penjabat Konsulat Indonesia.
Untuk rekod, sehingga Rabu, Sabah mencatatkan 268 kes baharu COVID-19 di mana Tawau merekodkan sebanyak 69 kes dengan 53 kes daripadanya adalah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau.
#warga asing #pati #Indonesia #usir #pelabuhan tawau
;