MKN Sabah hantar pulang 82 PATI Indonesia

Bernama
Jun 5, 2020 11:17 MYT
Seramai 88 PATI dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan laut dari Tawau, pada Jumaat. -BERNAMA
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah pada Jumaat menghantar pulang 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia membabitkan 77 lelaki dan lima wanita, melalui jalan laut dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan itu membuktikan Malaysia komited memastikan semua tahanan PATI dapat kembali menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.
"Sehubungan itu kerajaan Malaysia juga berharap negara jiran memberi kerjasama untuk menerima warganegara masing-masing yang berada di sini, untuk dikembalikan ...(termasuk) tahanan warganegara Filipina yang berada di semua PTS (Pusat Tahanan Sementara)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, MKN Sabah bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia menyelaras tanggungjawab dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia dan pelbagai agensi lain untuk melaksanakan operasi penghantaran pulang PATI ke negara asal.
Sharifah Sitti Saleha berkata, pada tahun ini sejumlah 3,753 PATI di Sabah telah dihantar pulang termasuk warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang dihantar pulang melalui penerbangan yang diuruskan Jabatan Imigresen.
"Jumlah pengusiran (PATI) sejak tahun 1990 sehingga kini adalah sebanyak 594,920 orang," katanya.
Sharifah Sitti Saleha berkata tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskanwalaupun negara berhadapan dengan ancaman jangkitan COVID-19.
"Tindakan ini adalah selari dengan usaha kerajaan dalam membanteras kehadiran PATI di negeri Sabah," katanya.
Beliau berkata kerjasama masyarakat adalah penting terutamanya majikan agar tidak melindungi dan menggaji PATI untuk bekerja.
--BERNAMA
#COVID-19 #Indonesia #jalan laut #MKN #Nunukan #pati #pekerja asing #pengusiran #Sabah #Tawau #usir #warga asing
;