MKN, KKM teliti cadangan garis panduan operasi kedai gunting rambut

Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2020 16:43 MYT
MKN dan KKM sedang meneliti garis panduan yang dicadangkan oleh persatuan-persatuan tukang gunting rambut. - Foto fail BERNAMA
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti garis panduan yang dicadangkan oleh persatuan-persatuan tukang gunting rambut.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang garis panduan yang ditetapkan hanya akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan.
“Persoalan ini selalu timbul dan saya dimaklumkan bahawa persatuan-persatuan (tukang) gunting rambut telah menghantar SOP (prosedur operasi standard) mereka kepada MKN dan KKM di mana sekarang ini KKM dan MKN sedang teliti SOP yang dicadangkan mereka.
“Sebab kedai gunting rambut ini ada pelbagai kategori. Ada yang di pusat beli-belah yang mahal dan ada di kedai mamak.
“Jadi SOP itu yang nak kita perketatkan. Ini adalah keputusan MKN dan KKM, dan mereka sedang teliti.
“Ramai masih takut kerana (aktiviti itu) dianggap berbahaya kerana penjarakan sosial sukar dilakukan,” ujarnya pada sidang media di sini pada Khamis.
Ismail Sabri sebelum ini menegaskan perkhidmatan kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau pada masa sama mengakui menerima permohonan daripada persatuan-persatuan dan pemilik kedai gunting rambut untuk diberikan kebenaran.
#gunting rambut #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #KKM #operasi gunting rambut #salon #SOP
;