MKN hantar penerbangan ihsan kedua ke Nepal jika perlu
Bernama
April 29, 2015 10:40 MYT
April 29, 2015 10:40 MYT
Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menghantar penerbangan ihsan kali kedua jika masih terdapat rakyat Malaysia yang dikesan terkandas di Nepal.
Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya pada masa ini masih meneruskan usaha mengesan mereka berkenaan.
"Jika ada keperluan, MKN akan menghantar penerbangan ihsan ke sana. Setakat yang saya tahu, di Kathmandu tiada lagi rakyat Malaysia tetapi di luar kawasan Kathmandu difahamkan masih ada lagi rakyat Malaysia.
"Tetapi jumlah mereka yang berada di sana masih tidak diketahui dan MKN sedang mengesan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang awal pagi Rabu.
Beliau juga meminta mana-mana rakyat Malaysia yang masih berada di Kathmandu supaya segera mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Nepal untuk dibawa pulang ke tanah air.
Thajudeen berkata setakat hari ini, MKN dan TUDM telah membawa pulang 104 rakyat Malaysia yang tiba di pangkalan TUDM Subang pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu semalam dengan menaiki pesawat C-130 milik TUDM.
"Rakyat Malaysia seramai 104 itu terdiri daripada dua bayi, enam kanak-kanak bawah 12 tahun, 43 wanita termasuk seorang wanita mengandung dan 53 lelaki," katanya.
Pesawat TUDM itu sebelum itu berlepas dari tanah air ke Kathmandu dengan membawa 30 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta 20 pegawai perubatan dari MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada pukul 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.
Setakat ini tragedi gempa bumi paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu dilaporkan mencatat kira-kira 5,000 kematian dan lebih 8,000 orang cedera.