MKN diminta wujudkan mekanisme bendung ancaman siber untuk sabotaj negara

Bernama
Mac 9, 2017 06:00 MYT
ABDUL RAHMAN: MKN harus melihat ancaman serangan siber dalam konteks yang lebih besar.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mewujudkan mekanisme membendung ancaman serangan siber yang boleh mensabotaj ekonomi dan kestabilan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"MKN harus melihat ancaman serangan siber kini bukan sahaja menyerang dari segi infrastruktur dan rangkaian internet tetapi dalam konteks yang lebih besar," katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutup National Cyber Crisis Exercise 2017 (X-Maya6) di sini pada Khamis.
Memberikan contoh dakwaan 40,000 warga Bangladesh dibawa untuk mengundi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Abdul Rahman berkata fitnah yang tular di media sosial itu memberi kesan kepada corak pengundian pada masa itu dan ia merupakan sabotaj kepada kestabilan politik.
Abdul Rahman turut menyentuh mengenai fitnah bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerugian yang telah menular di peringkat antarabangsa dan menyebabkan beliau ditanya oleh beberapa pihak di luar negara mengenai kebenaran isu tersebut.
"Ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana ia adalah tidak benar.
Bayangkan jika semua penabung di TH dan KWSP mengeluarkan tabungan mereka (kerana fitnah tersebut), ini akan menyebabkan sistem perbankan berkenaan akan runtuh...ini bukan perkara main-main," katanya.
Abdul Rahman berkata ia adalah bentuk sabotaj ekonomi yang perlu ditangani MKN kerana boleh menjejaskan keyakinan pelabur untuk datang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut meminta Bank Dunia untuk menegur pembangkang yang mengeluarkan kenyataan yang akan memudaratkan ekonomi negara sama seperti nasihat dan teguran yang diberikan Bank Dunia kepada kerajaan untuk menjaga ekonomi negara.
"Menjaga ekonomi negara ini bukan sahaja kerja kerajaan sahaja, ianya tanggungjawab bersama pembangkang dan kita minta pembangkang untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan," katanya.
--BERNAMA
#Abdul Rahman Dahlan #Bangladesh #PRU13 #Tabung Haji
;