MKN diharap terus tutup sektor ekonomi, industri 'non essential' hingga tamat PKPD - MB Selangor

Khairunnisa Kasnoon
Julai 8, 2021 12:33 MYT
Amirudin berkata jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya disebabkan saringan menyeluruh di kawasan PKPD serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus menutup sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat di 34 mukim di negeri itu.
Beliau berkata, itu adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan kepada MKN dalam usaha mengurangkan peningkatan jangkitan COVID-19 di Selangor.
Dalam ciapan di Twitternya, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi dijadikan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.
“Matlamat pelaksanaan PKPD bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.
"Oleh itu, kerajaan negeri mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” ujarnya.

Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD. Dlm mesyuarat hari ini, saya telah mengesyorkan beberapa cadangan kpd MKN (1/3) https://t.co/Zz6KObR073

— Amirudin Shari (@AmirudinShari) July 8, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selangor terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian COVID-19 negara. Pada Khamis, negeri itu mencatatkan 4,152 kes keseluruhan.
“Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD,” katanya lagi.
Kenyataan itu menyusul sehari selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberitahu lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan PKPD di Selangor bermula semalam.
Dalam satu kenyataan, MITI berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
#ekonomi #COVID-19 #kes positif #perintah kawalan pergerakan #PKPD #Amirudin Shari #Majlis Keselamatan Negara #jangkitan #MKN #kontak rapat