Mizuno Wave Run 2015 Putrajaya dibatalkan kerana jerebu

Bernama
September 26, 2015 15:29 MYT
Penganjur akan menunda acara ini dan tarikh serta tempat akan diumumkan kemudian. - Gambar Bernama
Mizuno Wave Run 2015, yang dijadualkan esok dibatalkan kerana jerebu, kata penganjur.
"Pihak pengurusan mengambil keputusan rasmi membatalkan Mizuno Wave Run 2015 kerana keadaan berjerebu yang semakin buruk.
Keselamatan dan keadaan kesihatan anda menjadi keutamaan kami, maka keputusan itu tidak dapat dielakkan," kata penganjur larian itu World of Sports Malaysia dalam satu pengumuman di laman Facebooknya.
Pelepasan peserta Mizuno Wave Run dijadualkan pada pukul 6.30 pagi esok di Dataran Putrajaya tetapi paras Indeks Pencemaran Udara terus mencatatkan kualiti udara yang tidak sihat pada bacaan 105 setakat 6 petang tadi. (Bacaan pada pukul 10 malam pula dicatatkan pada bacaan 135.)
Sebagaimana diminta peserta, penganjur akan menunda acara ini dan tarikh serta tempat akan diumumkan kemudian.
"Harap maklum bahawa tiada pingat akan dikeluarkan kepada peserta esok dan Isnin (27 Sept dari cawangan Putrajaya dan 28 Sept dari eCurve). Sila simpan bib larian anda sebagai bukti pendaftaran untuk kelayakan menyertai acara akan datang," katanya.
#Dataran Putrajaya #Facebook #Mizuno Wave Run 2015 #Putrajaya #World of Sports Malaysia