'Miza Ozawa' dipenjara dua bulan cari langganan persundalan

Sinar Harian
Jun 24, 2024 16:18 MYT
Siti Amiza (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Bandar Baharu Bangi pada Isnin. - Gambar/ Sinar Harian
BANGI: Seorang peniaga 'ubat kuat' dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini pada Isnin atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama 'Miza Ozawa', tiga minggu lalu.
Siti Amiza Baharuddin, 27, yang hamil enam bulan, dikenakan hukuman itu selepas kekal mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Shahrul Rizal Majid.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkapan iaitu 6 Jun.
Pada Rabu minggu lalu, ibu tunggal itu mengaku bersalah melakukan kesalahan terbabit di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota Kajang pada jam 4 petang, 6 Jun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian, pihak polis membuat serbuan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh mendapati, ia digunakan untuk melakukan kesalahan itu, menerusi media sosial.
Semasa prosiding, Siti Amiza mengaku insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan terkutuk di masa hadapan, kerana mahu memulakan kehidupan baharu.
"Saya mahu jaga anak (dalam kandungan) dan perlu menanggung ibu yang mempunyai penyakit Hepatitis B malah saya tidak boleh berada dalam keadaan tertekan," katanya dalam nada sebak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan yang dibuat akan meningkatkan risiko penyakit kelamin dalam masyarakat.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, hakim menasihati tertuduh supaya tidak mengikut nafsu dan menjadikan kes ini sebagai pengajaran.
Hakim: Awal asal dari mana?
Siti Amiza: Saya berasal dari Pulau Pinang.
Hakim: Lepas ini nak buat apa?
Siti Amiza: Saya nak buka kedai makan.
Hakim: Di mana?
Siti Amiza: KL (Kuala Lumpur) tuan.
Hakim: Kenapa di KL?
Siti Amiza: KL senang nak cari makan, tuan.
Hakim: Keluarga ada di sinikah?
Siti Amiza: Keluarga ada di Pulau Pinang, di sini cuma kawan-kawan.
Hakim: Kawan tak boleh pakai, balik Pulau Pinang, itu pun kalau betul nak jaga anak.
Rabu minggu lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhi wanita itu hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki bahan lucah dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki ubat tanpa kelulusan dan tidak berdaftar dengan KKM iaitu masing-masing dua Secret Negro dan Dara Jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan di Bandar Bukit Mahkota di sinu, selepas disyaki terbabit aktiviti promosi seks dan penjualan 'ubat kuat' di laman sosial, dikatakan mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan. - Sinar Harian
#miza ozawa #aktiviti persundalan #Telegram #promosi seks #hukuman penjara
;