MITRANS cadang CCTV di lorong kecemasan
Rahimah Abdullah
Julai 23, 2015 07:43 MYT
Julai 23, 2015 07:43 MYT
Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas berlaku kemalangan bagi mengesan pengguna yang menyalah guna lorong kecemasan.
Pengarahnya, Prof Dr Saadiah Yahaya berkata kesalahan itu mengundang risiko kemalangan selain menyusahkan pengguna lain yang benar-benar berada dalam kecemasan.
Penguatkuasaan CCTV itu boleh dimulakan di kawasan panas memandangkan kos pemasangannya yang tinggi.
"Kena lihat daripada segi kos juga; kosnya saya rasa agak mahal juga.
"Kemungkinan kita boleh mulakan dengan laluan yang berpotensi menyebabkan kesesakan trafik tinggi dan yang menyumbang kepada (jumlah) kemalangan yang tinggi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Beliau yakin langkah memasang CCTV itu akan menyebabkan pengguna takut untuk melakukan kesalahan jalan raya sekali gus mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kes kemalangan jalan raya.
Katanya salah guna laluan kecemasan merupakan antara penyumbang kemalangan selain menambah bahawa pengguna yang berbuat demikian sebagai terlalu mementingkan diri sendiri.
"Sebenarnya semua orang akan lambat bukan diri dia sendiri. Jadi bila dia ambil laluan tidak sepatutnya maka orang belakang semua ikut.
"Orang sebelah kanan yang sabar itu mungkin tercabar juga.
"Jadi saya setuju sangat diletakkan CCTV, tetapi tengok mana jalan yang sesuai untuk pemasangannya bagi mengesan pesalah yang menggunakan lorong kecemasan ini," tambahnya.
Sepanjang hujung minggu lalu, Astro AWANI mendedahkan pelbagai gambar dan visual amatur yang dirakam pembaca astroawani.com kerana menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya.
Gambar dan visual itu dirakamkan atas saranan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu mengesan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya.