MITRA serah 10 mesin layan diri bantu masyarakat India Kelantan jana pendapatan
Bernama
Mei 31, 2024 06:30 MYT
Mei 31, 2024 06:30 MYT
KOTA BHARU: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyerahkan mesin layan diri kepada 10 usahawan India Muslim golongan B40 negeri ini sebagai usaha untuk menjana pendapatan golongan berkenaan.
Ketua Pengarah MITRA S Ravikumar berkata sumbangan itu membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM200,000 menerusi Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya MITRA.
Beliau berkata sumbangan ini adalah komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang dapat menyokong perniagaan kecil.
"Mesin ini mewakili model perniagaan yang inovatif dan mudah diakses dengan kos efektif dan berkecekapan menjual produk sepanjang masa mampu meningkatkan keuntungan penerima," katanya pada Majlis Perasmian Program Perniagaan Mesin Layan Diri Komuniti India Kelantan, di sini semalam.
Ravikumar berkata MITRA melalui Jabatan Perdana Menteri menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan India Muslim di seluruh negara mengikut permohonan dan keperluan setiap negeri.
Menurutnya, kebanyakan peniaga memohon kemudahan mesin itu adalah sebagai nilai tambah perniagaan sedia ada dan membantu mereka yang mahu memulakan perniagaan.
"Walaupun penduduk masyarakat India dianggarkan seramai 20,000 orang sahaja di Kelantan yang kebanyakannya menetap di Kota Bharu, Jeli dan Gua Musang, namun MITRA melaksanakan pelbagai program pembangunan sosioekonomi kepada golongan itu," katanya.
-- BERNAMA