MITRA pertingkat program pemantapan ilmu, kemahiran - Ramanan

Bernama
Disember 17, 2023 05:45 MYT
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata program seperti seminar 'Serambi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023' yang baru sahaja tamat, akan diadakan lebih kerap di seluruh negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) sedang berusaha untuk merancakkan program yang mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran pekerjaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Khasnya, Datuk R. Ramanan.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, program seperti seminar 'Serambi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023' yang baru sahaja tamat, akan diadakan lebih kerap di seluruh negara.
"Sudah tentu, kami akan melaksanakan program seperti ini di seluruh negara... pada masa ini MITRA (juga) sedang mengusahakan pelbagai rancangan dan inisiatif untuk masa akan datang.
"Akan ada sedikit perubahan... sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang berlaku, tetapi buat masa ini, saya pasti akan menganjurkan lebih banyak program seperti Serambi SPM 2023 di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup seminar anjuran Universiti MAHSA dan ditaja MITRA, di sini, pada Ahad.
Kira-kira 800 pelajar dari 30 sekolah di Selangor menyertai seminar berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Seminar itu dikendalikan oleh Prof Adjung Universiti MAHSA, Datuk P Eswaran.
M Harshini, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina berkata, seminar berkenaan telah memberi kefahaman yang lebih mendalam terhadap ketiga-tiga mata pelajaran itu.
"Saya sangat seronok belajar melalui seminar ini...mata pelajaran yang memerlukan banyak masa dan kesabaran untuk memahami menjadi menarik dalam cara yang tidak saya jangkakan," katanya ketika ditemui selepas seminar itu.
R Shanusia Barathi, 17, menzahirkan penghargaan kepada MAHSA dan MITRA yang menganjurkan sesi seperti ini yang memberikan manfaat kepada pelajar yang memerlukan.
"Saya harap lebih banyak seminar seperti Serambi SPM 2023 diadakan lebih kerap pada masa depan, kerana ia akan meningkatkan semangat dan memberikan motivasi kepada calon-calon SPM," katanya pelajar SMK Convent Bukit Nanas itu. - BERNAMA
#Mitra #Unit Transformasi India Malaysia #r ramanan #kemahiran
;