MITI tekad jadikan Malaysia peneraju serantau sektor teknologi hijau

Nabilah Khaleeda
Julai 17, 2024 12:10 MYT
Menurut Tengku Zafrul, MITI akan memastikan strategi pelaburan hijau ini dapat merancakkan ekonomi negara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia menyokong pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau bagi menarik pelaburan hijau ke Malaysia dan memangkin pembangunan sosio-ekonomi yang lestari.
Pelaksanaan strategi tersebut akan dipimpin Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Sri Fadillah Yusof.
MITI, selaku Sekretariat dan Kementerian pelaksana utama bagi pelaburan, akan memfokus kepada usaha menarik pelaburan hijau bagi membantu merealisasikan sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Strategi tersebut berpaksikan tujuh teras utama rendah karbon di bawah pelan NETR dan NIMP 2030, iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, biotenaga hidrogen, mobiliti hijau (darat, marin, penerbangan), penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) dan ekonomi kitaran.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau bakal memperlihatkan pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau secara lebih berkesan, teratur dan sistematik untuk Malaysia.
“Antara sasaran utama adalah untuk menarik hampir lapan kali ganda jumlah pelaburan ke Malaysia bagi mencapai objektif NIMP 2030 dan NETR; memastikan pelaburan di dalam tujuh teras utama rendah karbon; memanfaatkan pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan menambah baik ekosistem pelaburan hijau,” katanya.
Tambah beliau, kesemua ini dilihat akan mampu merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi dalam industri hijau; serta mewujudkan pekerjaan baharu dan pembangunan kemahiran dalam industri hijau.
“Ini bakal meningkatkan imej dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau pilihan serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam sektor teknologi hijau,” jelasnya.
Keputusan tersebut telah dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN 5/2024) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
#MITI #pelaburan #Strategi Pelaburan Hijau #Awani Green Action
;