MITI sedia bekerjasama bagi pelaksanaan pilihan pembiayaan sifar bersih

Bernama
Oktober 18, 2023 04:45 MYT
MITI terbuka untuk menjalin kerjasama dengan institusi kewangan bagi meninjau kaedah dalam pelaksanaan pilihan pembiayaan sifar bersih di negara ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. - Gambar hiasan/BERNAMA
PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terbuka untuk menjalin kerjasama dengan institusi kewangan bagi meninjau kaedah dalam pelaksanaan pilihan pembiayaan sifar bersih di negara ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Timbalan Ketua Setiausaha MITI Datuk Hanafi Sakri berkata idea serta mekanisme baharu itu diperlukan bagi pembiayaan projek serta inisiatif peralihan hijau secara berkesan.
"Pada masa sama, kita juga memerlukan struktur baharu berikutan pelaburan baharu kewangan korporat membabitkan peralihan hijau sedemikian," katanya.
Beliau mewakili Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Financing the Net-Zero Mission' pada acara Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia (MFAIC) ke-25 di Subang Jaya, dekat sini, pada Rabu.
Persidangan tersebut bertemakan 'Positioning the Financial System Towards a Sustainable Economy and Green Finance' atau 'Meletakkan Sistem Kewangan Ke Arah Ekonomi Mampan dan Kewangan Hijau.'
Hanafi turut menegaskan komitmen kementerian bagi membantu negara mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
"Komitmen MITI menerusi misi bersih sifar NIMP 2030 iaitu antara empat misi yang digariskan, adalah berdasarkan pandangan bahawa langkah ke arah sifar bersih ini boleh dimanfaatkan sebagai kelebihan strategik oleh industri di Malaysia," katanya.
Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata biarpun pelaburan modal awal diperlukan bagi usaha peralihan hijau itu, syarikat-syarikat yang bertindak mengatur strategi secara berkesan mampu melangkaui serta dalam kedudukan lebih baik bagi menangani cabaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di masa depan.
"Syarikat-syarikat yang melabur dalam tenaga solar boleh diperbaharui sebelum 2023, kurang terjejas dengan peningkatan harga tenaga yang dilaksanakan pada awal tahun ini.
"Begitu juga syarikat-syarikat yang mengambil inisiatif bagi usaha pengautomasian proses pembuatan masing-masing, turut menikmati penjimatan jangka panjang dari segi pengurangan kos pengangkutan dan perumahan pekerja mereka," katanya.
Sementara itu, pada sesi perbincangan panel, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MFAIC yang juga Dekan Eksekutif Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang Taylor's University Eddy Chong menyifatkan prinsip-prinsip ESG telah mencetuskan anjakan paradigma dari segi penilaian risiko dan peluang oleh pelabur.
"Tidak lagi terikat dengan metrik kewangan tradisional, mereka sebaliknya meneliti pelaburan daripada perspektif impak sosial, etika dan kelestarian.
"Pendekatan baharu ini menunjukkan pengaruh terhadap ekonomi secara lebih meluas, memberi kesan kepada industri dan membentuk semula strategi korporat selain mendorong tanggapan masyarakat ke arah masa depan lebih mampan dan bertanggungjawab," katanya.
Belanjawan 2024 turut merangkumi cadangan peruntukan awal RM200 juta bagi dana permulaan untuk Dana Pembangunan Industri NIMP dan Dana Pelaburan Bersama NIMP.
-- BERNAMA
#MITI #pembiayaan sifar bersih #Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri #NIMP 2030
;