MITI komited bantu tingkat kesedaran jumlah pekerja sektor berkemahiran tinggi
Astro Awani
Jun 29, 2024 20:09 MYT
Jun 29, 2024 20:09 MYT
PULAU PINANG: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited membantu negara meningkatkan kesedaran mengenai jumlah pekerjaan tersedia dalam sektor berkemahiran tinggi.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sempat melawat beberapa kilang perindustrian di Pulau Pinang dan melihat pergerakan positif termasuk pembangunan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
"Sektor E&E adalah antara sektor yang diberi tumpuan di bawah pelan perindustrian baharu atau Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan baru-baru ini. Pulau Pinang memang terkenal sebagai hab bagi semi konduktor negara.
"Syukur Alhamdulillah kita dapat tahu bagaimana dan sejauh mana syarikat-syarikat di Pulau Pinang terutama syarikat tempatan kita yang telah berjaya dalam E&E dan semikonduktor ini.
"Syarikat-syarikat ini juga aktif terutama dari segi bakat yang memberi fokus kepada pelajar pelajar institusi program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga menekankan kepentingan STEM serta dari segi bakat, pakar yang diperlukan memang banyak termasuk peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui media selepas melawat lokasi kilang industri semikonduktor di Pulau Pinang pada Sabtu.
Tengku Zafrul turut mengadakan lawatan di beberapa buah kilang termasuk Motorola Solutions, Abbott Medical Devices, Pentamaster and UWC Technology di negeri itu.
Tambah beliau, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk melatih 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan cabaran untuk negara bukan hanya dalam memastikan negara memiliki jurutera berkemahiran tinggi yang mencukupi tetapi juga untuk memastikan bilangan pekerja terus meningkat.