MITI kaji semula Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993
Bernama
Julai 24, 2024 14:01 MYT
Julai 24, 2024 14:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengkaji untuk meminda Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504), kata Timbalan Menteri Liew Chin Tong.
Beliau berkata pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Januari 2025.
Selain itu, kerajaan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dilindungi daripada kesan perdagangan yang tidak adil berikutan kemasukan barangan import murah dalam kuantiti yang besar, termasuk dari China melalui penguatkuasaan remedi perdagangan, katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai usaha kementerian menyokong PKS di Malaysia dalam mengatasi kesan kemasukan perniagaan China.
Liew berkata antara langkah remedi yang dilaksanakan adalah pengenaan duti antilambakan, duti timbal balas dan duti pelindung.
"MITI melaksanakan tindakan remedi perdagangan ini selaras dengan perundangan negara iaitu Akta 504 serta Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan 1994).
"Tindakan remedi perdagangan ini adalah bersasar terhadap pengilang atau pengeksport luar negara yang mengakibatkan kemudaratan industri tempatan termasuk PKS di Malaysia serta skop pengenaannya merangkumi kesemua industri tempatan," katanya.
Beliau berkata bagi tempoh 2015 hingga 2023, MITI secara khususnya telah menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan terhadap pengeksport China bagi melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan yang tidak adil.
-- BERNAMA