MITC pertimbang kad diskaun untuk petugas barisan hadapan
Astro Awani
Julai 1, 2020 18:35 MYT
Julai 1, 2020 18:35 MYT
Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) mempertimbangkan pemberian kad diskaun percuma kepada petugas barisan hadapan yang berkorban tenaga dan nyawa dalam memerangi penularan COVID-19 di Selangor.
Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi MITC, Fazli Abu Bakar berkata, pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MITC mengambil inisiatif mewujudkan Program Kad Kesetiaan Selangor bagi menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat dan membantu rakyat di negeri itu untuk mengurangkan kos sara hidup.
Menurutnya, MITC memperkenalkan sistem kad diskaun pertama yang ditawarkan kepada penduduk tempatan dan pelancong untuk berbelanja dari banyak tempat di seluruh Selangor.
"Program itu mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna dan membantu meningkatkan pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Kad diskaun ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.
"Hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik dari 10 hingga 70 peratus yang ditawarkan dari rakan niaga MITC yang berdaftar mengikut terma dan syarat ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Fazli berkata, kad diskaun itu bukan sahaja mampu memberi keceriaan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang memerangi COVID-19, tetapi juga manifestasi rasa terima kasih dan penghargaan MITC kepada petugas barisan hadapan.
Katanya, prestasi petugas barisan hadapan begitu cemerlang berdasarkan makluman Kementerian Kesihatan yang melaporkan kes baharu positif COVID-19 semakin berkurangan.
Jelasnya, tanpa tindakan cemerlang petugas barisan hadapan, pastinya usaha untuk menyekat dan memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini menempuh jalan sukar untuk memperolehi pencapaian seperti hari ini.
"Ia mencerminkan kesukaran yang terpaksa mereka tempuhi, bekerja keras tanpa mengira masa dan penat serta keadaan termasuk berhujan dan berpanas, malah ada yang terpaksa berpisah sementara dengan keluarga demi memastikan masyarakat dan negara terselamat daripada jangkitan COVID-19.
"Mereka tidak cukup tidur dan rehat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, namun untuk menjaga kepentingan dan keselamatan masyarakat di negara ini, mereka sanggup berkorban dengan penuh kesabaran," katanya lagi.
#Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia
#Fazli Abu Bakar
#kad diskaun
#Kementerian Kesihatan
#MITC
#perintah kawalan pergerakan
#perusahaan kecil dan sederhana
#petugas barisan hadapan
#PKP
#PKS
#Program Kad Kesetiaan Selangor