MITA umum harga sewa bas, van persiaran naik 20 peratus
Umavathi Ramayah
Jun 14, 2024 18:52 MYT
Jun 14, 2024 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) mengumumkan kenaikan 20 peratus harga penyewaan bas dan van persiaran bermula Isnin ini susulan peningkatan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus.
Bagaimanapun, Presidennya, Leong Hoon Min, berkata kenaikan itu hanya bersifat sementara sebelum menunggu keputusan kerajaan untuk memasukkan bas dan van persiaran dalam kategori Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0.
"Kami di MITA sokong tindakan kerajaan untuk mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini namun tempoh menunggu yang lama iaitu akhir bulan Jun atau Julai ini, agak membebankan.
"Tambahan pula Jun dan Julai adalah summer holiday, maka semestinya permintaan kepada penggunaan sewaan bas dan van pelancong juga akan meningkat.
"Kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi bas dan van persiaran meningkat secara mendadak sekali gus membebankan pengusaha dan memberi impak kepada tempahan awal pelancong," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hoon Min berkata, Mita juga akan sentiasa memantau kenaikan harga berkenaan dari semasa ke semasa selaras dengan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan.
Pada masa sama, beliau menasihati agensi-agensi pelancongan supaya tidak mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan harga pakej melainkan menaikkan harga sewaan bas atau van harian.
Pada 10 Jun lalu, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumum setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.